DATSUN 1200@B110 kekal asli.
DATSUN 1200@B110 kekal asli.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Itulah prinsip dipegang pemilik kenderaan Datsun 1200 @ B110 binaan 1973 dari Kepala Batas, Pulau Pinang, di mana jentera miliknya kekal asli dan tampak bersahaja, namun sarat sistem audio di dalam but.

Biarpun tidak segah jentera moden, sistem audio yang dipasang sudah memadai bagi kategori jentera retro sepertinya.

Pemiliknya Mohamad Zam Arif Muhammad Sukki, 35, atau dikenali sebagai Abie, berkata jentera miliknya masih cemerlang menggunakan enjin asal B110 bersesaran 1,200cc.

Biarpun masih menggunakan sistem karburator, ia tidak mempunyai sebarang masalah sewaktu dikendalikan.

Berikutan meminati sistem audio, pemilik menaik taraf jenteranya dengan pelbagai sistem audio menarik.

Menggunakan dua pemain cakera iaitu Philips (dalaman jentera) dan Pioneer (but) ia dihubungkan ke power amp 4 hala Ameraon, sebuah power amp Zulex dan sebuah monoblok.

Kemudian ia ditalakan ke dua woofer 12 inci yang dibawa dari Thailand dengan kekuatan 1,500 setiap satu.

Tidak cukup dengan itu, lapan buah speaker bersaiz 6 inci dan masing-masing sebuah pre amp Sound Mad dan Zulex turut dipasang pada dalaman dan but.

Untuk menampakkan kelainan, sebuah LCD TV bersaiz 24 inci turut dipasang pada sudut dalaman jentera.

Bahagian luaran jentera sememangnya tidak diusik termasuk sistem suspensi, namun bahagian pemanduan tampak bergaya setelah enam meter tambahan pelbagai fungsi ditanam pada perumah khas di bahagian papan pemuka.

Bahagian enjin tampak lebih kemas setelah dilakukan kerja ubah suai sistem pendawaian dan mewarnakan bahagian tertentu enjin untuk menampakkannya lebih menarik.

Namun, paling mencuri tumpuan apabila sarang penapis udara diwarnakan cat semburan.

Mengenai kos ubah suai pemilik memaklumkan dia membelanjakan sekitar RM 10,000 hanya untuk sistem audio.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:51 AM