Izz Laily Hussein


Johor Bahru : 'Ejen Insurans' akan mencari dan mengenal pasti pencarum yang dianggap hidup sebatang kara bagi membuat caruman tanpa pengetahuan mangsa sebelum membunuh pencarum itu bagi membuat tuntutan insurans nyawa berjumlah RM500,000.

Itu adalah modus operandi baharu dilakukan sekumpulan sindiket menggunakan taktik caruman insurans yang pertama kali dikenal pasti polis beberapa bulan lalu.

Ia berikutan berlakunya satu kejadian bunuh membabitkan lelaki berusia 38 tahun di Jalan Senai-Seelong di sini, pada 4.40 pagi, 6 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, hasil siasatan lanjut terhadap laporan awal berhubung satu kemalangan maut yang berlaku di lokasi itu membongkar kegiatan sebenar sindiket berkenaan.

"Mangsa yang dilanggar sebuah lori pada hari kejadian sebenarnya terlebih dahulu dihimpit dan dilanggar oleh sekumpulan suspek menggunakan dua kereta dan sebuah motosikal sebelum kemudian dipukul kerana tidak meninggal dunia.

M Kumar (tengah) menunjukkan info grafik modus operandi sindiket 'ejen insurans' bunuh pencarum ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO Izz Laily Hussein
M Kumar (tengah) menunjukkan info grafik modus operandi sindiket 'ejen insurans' bunuh pencarum ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO Izz Laily Hussein

"Kemudian, dalam keadaan tidak bermaya, kebetulan lalu sebuah lori di lokasi kejadian terlanggar mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kita percaya, tindakan dilakukan suspek adalah untuk memastikan mangsa meninggal dunia bagi membolehkan tuntutan ke atas caruman diserahkan kepada 'pewaris' yang tidak dikenali mangsa," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, sindiket terbabit akan memalsukan tanda tangan mangsa ketika urusan permohonan polisi insurans dan suspek akan menunggu sehingga polisi insurans diluluskan.

Katanya, bagi urusan caruman itu, sindiket akan melantik pewaris yang tiada kena mengena atau tidak dikenali mangsa.

"Selepas polisi insurans diluluskan, suspek mula merancang untuk membunuh mangsa dengan cara seolah-olah berlaku kemalangan maut," jelasnya.

Kumar berkata, lapan lelaki tempatan berusia 23 hingga 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian itu dengan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis turut merampas satu dokumen polisi insurans atas nama mangsa dan tiga kenderaan yang digunakan dalam kejadian berkenaan," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan empat daripada suspek telah dituduh di mahkamah pada 19 Jun lalu, manakala empat lagi diberi bon jaminan.

"Kita sedang giat mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 4:55 PM