Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Tujuan pembinaannya bagi pengaliran air untuk mengelak banjir, bagaimanapun parit besar sedalam tiga meter dari Kampung Pok Par hingga Kampung Merbau Patah, dekat sini, boleh mengundang bahaya kepada masyarakat setempat.

Ini susulan parit sejauh lima kilometer itu dibina tanpa pagar, sekali gus membahayakan lebih 1,000 pengguna laluan berkenaan, terutama penunggang motosikal.

Walaupun laluannya bertar, penduduk bimbang penunggang motosikal yang melalui kawasan itu terbabas ke parit yang dibina sejak puluhan tahun lalu.

Penduduk, Azmi Abd Razak, 59, dari Kampung Melintang Wakaf Beruas, berkata, ketiadaan lampu jalan juga membimbangkan, terutama pengguna dari kampung berdekatan yang menggunakan laluan itu pada waktu malam.

"Kerajaan melalui beberapa agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) beberapa kali menaiktaraf laluan itu dengan melaksanakan projek penurapan jalan untuk keselesaan penduduk.

"Namun, penduduk memohon supaya pagar dibina di tebing parit bagi mengelak kejadian tidak diingini, malah beberapa kali permohonan diajukan," katanya.

Sementara, Badrul Amin Kasmadi, 18, berkata, dia pernah terbabas dan motosikal terjatuh ke parit berkenaan tahun lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah.

"Ketika itu jalan dibina di atas tebing parit besar belum diturap dan laluan berpasir.

"Saya tidak sempat berhentikan motosikal lalu terbabas dan terjatuh ke parit," katanya.

PARIT besar tanpa pagar  dari  Kampung Pok Par ke  Kampung Merbau Patah, sejauh  lima kilometer boleh mengundang bahaya kepada penduduk. FOTO GHAZALI KORI
PARIT besar tanpa pagar dari Kampung Pok Par ke Kampung Merbau Patah, sejauh lima kilometer boleh mengundang bahaya kepada penduduk. FOTO GHAZALI KORI

Seorang lagi penduduk, Mohd Zukir Jusoh, 48, berkata, laluan itu digunakan sebagai laluan alternatif daripada Kampung Wakaf Mempelam ke Bukit Besar dan Pasir Panjang.

Katanya, laluan itu juga digunakan pemandu untuk ke bandar baharu Bukit Besar.

"Kami amat berharap dan memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina pagar di tebing parit besar berkenaan.

"Selain itu, kerajaan juga diharap mempertimbangkan pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan berkenaan kerana keadaan gelap pada waktu malam turut mengundang bahaya kepada ," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 6:00 AM