JENAZAH bapa mentua Mohd Ariff diangkat ke dalam van jenazah, dan van (gambar kanan) dinaiki mereka yang rosak ketika dalam perjalanan ke Bogawan. FOTO Ihsan  FB Mohd Ariff
JENAZAH bapa mentua Mohd Ariff diangkat ke dalam van jenazah, dan van (gambar kanan) dinaiki mereka yang rosak ketika dalam perjalanan ke Bogawan. FOTO Ihsan FB Mohd Ariff
Recqueal Raimi


Kota Kinabalu: Seorang lelaki terkandas lebih dua jam bersama jenazah bapa mentuanya apabila van dinaiki rosak ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Bogawan, Papar dekat sini, hari ini.

Kejadian itu turut dikongsikan pemilik akaun Facebook, Mohd Ariff Ahmad dengan video secara langsung lebih 30 minit mengenai situasi dialaminya yang ketika itu terkandas bersama jenazah bapa mentuanya.

Menurut perkongsiannya kira-kira 10 pagi itu, lelaki berkenaan mahu membawa bapa mentuanya menetap di kampung di Bogawan,

Bagaimanapun, bapa mentuanya dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.

"Al-fatihah untuk bapa mentua... baru mahu bawa di kampung bersama kami, rupanya meninggalkan kami semua.

"(Kami) dari Sandakan dalam perjalanan pulang ke Bongawan, pam brek bocor, terkandas beberapa jam sini. Kami berdua saja sekarang.. dugaan membuatkan air mata mengalir," tulisnya.

Bagaimanapun, selepas menunggu kira-kira dua jam setengah, paramedik Hospital Tuaran tiba ke lokasi berhampiran simpang Kota Belud, Jalan Ranau - Tamparuli untuk mengesahkan kematian bapa mentuanya.

Sementara itu, dalam perkongsian kira-kira sejam lalu, Mohd Ariff berkata, dia kemudian menghubungi seorang rakan untuk mendapatkan bantuan perkhidmatan van jenazah yang berhampiran lokasi.

"Selepas dua jam setengah menunggu, pihak perkhidmatan kereta jenazah dari Ketiau, Putatan tiba.

"Perjalanan menghantar jenazah diteruskan dan diuruskan oleh keluarga sebaik tiba di Bongawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 9:02 PM