Nur Amirawati berkahwin buat kali kedua bersama suami, Ahmad Saharudin Mohd Salleh pada November 2022 selepas berpisah lima tahun berpisah bersama tiga anak mereka.
Nur Amirawati berkahwin buat kali kedua bersama suami, Ahmad Saharudin Mohd Salleh pada November 2022 selepas berpisah lima tahun berpisah bersama tiga anak mereka.
Noor Hidayah Tanzizi


Maran: "Anak adalah individu paling bahagia ketika saya dan suami berkahwin semula, malah kerana mereka juga saya dan suami membuang ego serta membaiki kesilapan lalu," kata Nur Amirawati Md Zuki.

Dia berusia 34 tahun berkahwin buat kali kedua bersama suami, Ahmad Saharudin Mohd Salleh, 39, pada November 2022 selepas berpisah lima tahun kerana tiada persefahaman.

Nur Amirawati berkata, dia dan suami berkahwin buat kali pertama pada Februari 2011 sebelum mengambil keputusan berpisah dengan dia menjaga tiga anak mereka di Sungai Jerik, di sini, manakala suami berpindah ke Melaka.

Menurutnya, sepanjang tempoh perpisahan, hubungan masih baik demi tiga anak mereka, Ahmad Syazwan, 13, Nur Ain Insyirah, 11, dan Ahmad Ammar Syahmi, 10.

"Anak masih kecil ketika kami berpisah dan pelik kenapa bapa mereka tidak tinggal serumah bersama kami, malah mereka hairan bapanya selalu telefon tetapi tidak pernah pulang ke rumah. Apabila besar anak sulung semakin faham situasi kami.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, suami tidak boleh balik ke Maran dan anak ketika itu sedih dan kami buat panggilan video sebelum anak meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat berjumpa bapanya," katanya.

Katanya, sebelum itu juga suami sudah beberapa kali meminta untuk mereka kembali namun dia belum bersedia dan mereka mengambil tempoh perpisahan selama lima tahun untuk membaiki kesilapan masing-masing.

"Saya dan suami lihat semula kesilapan kami dan buang ego demi tiga anak, malah kami juga tidak mahu anak menumpang kasih dengan orang lain sedangkan kami masih ada dan sebenarnya perasaan sayang juga masih ada.

"Apabila sudah yakin dan kedua-dua keluarga juga menyokong, kami memilih tarikh lahir anak sulung untuk bernikah di Pejabat Agama Jengka dan pada hari itu tiga anak kami nampak gembira dan asyik tersenyum," katanya.

Menurut Nur Amirawati, kehidupan kedua bersama suami kali ini lebih bermakna kerana banyak memberi pengajaran baharu untuk mereka terutama dalam menjaga emosi dan bersikap lebih toleransi dan saling memahami.

"Alhamdulillah sudah hampir dua tahun kami kembali bersama dan saya akui ia berbeza berbanding dulu apabila sekarang kami lebih 'cool', ada apa-apa kami saling dengar penjelasan dan lebih bertolak ansur.

"Saya bersyukur Allah SWT panjangkan jodoh kami dengan orang yang sama dan berdoa semoga ia akan terus berkekalan hingga ke syurga. Perpisahan lalu menjadi pengajaran untuk kami," katanya memberitahu suami bekerja sebagai mekanik.

Terdahulu perkongsian Nur Amirawati mengenai peluang kedua untuk dia dan suami kembali bersama menggembirakan tiga anak mereka dan video itu juga mendapat perhatian di TikTok yang memuji kematangan pasangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 2:35 PM