SITI mohon maaf dan berharap segala penjelasan yang dilakukan menemui jalan perdamaian.
SITI mohon maaf dan berharap segala penjelasan yang dilakukan menemui jalan perdamaian.
Najiy Jefri


PEMBATALAN majlis pernikahan dengan seorang jejaka yang dijadual berlangsung pada 31 Mei lalu dan kemudian memilih berkahwin dengan lelaki pilihannya Khairul Aiman Abdul Kudus, 21, atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah di Satun, Thailand pada 1 Jun lalu bukan gimik pemasaran.

Menurut pempengaruh dikenali Siti Jamumall, 25, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, tiada siapa mampu menolak jodoh dan takdir yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT.

Mengakui membatalkan majlis pernikahan dengan lelaki itu pada saat-saat akhir, Siti bagaimanapun memohon maaf dan berharap segala penjelasan menemui jalan perdamaian.

"Ini bukan teknik pemasaran untuk melariskan perniagaan saya seperti yang didakwa oleh netizen. Tapi saya anggap tiada jodoh dengan lelaki itu dan jodoh saya sangat kuat dengan suami saya sekarang. Kita tidak boleh melawan takdir Allah.

"Memang betul pembatalan dibuat dua hari sebelum majlis nak berlangsung. Saya faham jika ibu dan bapa lelaki itu marah dengan situasi yang berlaku.

"Siapa yang tidak sedih anak mereka tidak jadi kahwin, tetapi saya sudah jelaskan semuanya pada lelaki itu dan berharap tiada perkara berbangkit," katanya.

Tambah Siti, sebagai umat Islam, dia turut membuat solat istikharah sebelum menghampiri tarikh perkahwinannya kerana dia mahukan lelaki yang boleh menerima anak-anaknya dan juga abangnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

BERNIKAH di Satun, Thailand.
BERNIKAH di Satun, Thailand.

"Untuk perkahwinan saya yang kedua ini, saya memang mahukan orang yang boleh terima abang saya, boleh jaga dan sayang abang saya macam mana saya sayangkannya.

"Saya takut kalau saya kahwin dengan lelaki yang cuba pisahkan saya dengan abang saya. Saya tak kisah kalau lelaki itu kaya macam mana sekalipun, kalau dia tak boleh terima abang saya, saya tak akan kahwin dengan dia," katanya.

Dalam pada itu, Aiman yang juga pempengaruh bersedia menerima kecaman orang ramai yang mendakwa dirinya sebagai perosak perkahwinan.

Katanya, dia menganggap kecaman atau ayat perli dilemparkan itu sebagai asam garam sebagai seorang pempengaruh.

"Saya sudah sedia dilabelkan seperti itu tetapi bagi saya selagi cincin belum disarung di jari manisnya, saya akan berjuang habis-habisan.

"Saya sangat suka dan tertarik dengan cara layanan Siti yang menjaga abangnya yang berstatus OKU.

SITI Jamumall buat solat istikharah sebelum berkahwin.
SITI Jamumall buat solat istikharah sebelum berkahwin.

"Bila lihat cara dia menjaga abangnya, jadi timbul satu rasa pada saya jika saya sakit satu hari nanti, pasti dia boleh rawat saya.

"Disebabkan itu, saya berusaha memenangi hatinya semula dan akhirnya kami sah bergelar suami isteri," katanya.

Bercerita mengenai detik perkahwinan mereka, Aiman mengakui buntu apabila mengetahui wanita yang dicintai bakal berkahwin dengan lelaki lain.

"Tiada istilah saya tinggalkan dia. Saya ambil masa dua bulan perbaiki hubungan kami, tapi Siti tetap enggan berjumpa dengan saya.

"Pada waktu itu, saya cakap tak boleh duduk diam begini saja, dan saya perlu kejar dia lagi. Masa dia ada orang lain pun saya masih cuba hubunginya.

"Saya tetap cuba walau apapun terjadi sebab saya faham percintaan yang sebenar bukan setakat saya sayang awak, saya rindu awak.

"Sebaliknya memerlukan pengorbanan, usaha dan segalanya untuk wanita yang dicintai. Sebagai lelaki, kita harus kuat dan percaya setiap usaha pasti akan membuahkan hasil," katanya.

Menyentuh mengenai perancangan majlis resepsi, Siti dan Aiman memberitahu, perkara itu bakal diumumkan dalam waktu terdekat.

Terdahulu, Siti pernah berkahwin sebelum ini namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil daripada perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak lelaki Putra Adam Rizki, 4, dan Putra Aiman Zafran, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 6:20 AM