GAMBAR hiasan Sungai Golok. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan Sungai Golok. FOTO Arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berdepan detik cemas apabila diancam penyeludup termasuk dilepaskan tiga das tembakan, kelmarin.

Kejadian berlaku ketika operasi penguatkuasaan di Sungai Golok di Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor, di sini, pada 9.45 pagi.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ketika pasukannya tiba di Pangkalan Haram Pok Mat, Kampung Simpangan, sebanyak 15 bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti pemunggahan dipercayai membabitkan petrol dan diesel.

"Pasukan operasi merapati salah sebuah bot yang sarat dengan muatan tong dipercayai mengandungi bahan bakar itu di tebing sungai dan seorang pegawai kami melompat masuk ke dalam bot terbabit.

"Dalam masa sama penyeludup cuba melarikan diri dengan melompat ke dalam bot rakannya yang datang membantu dan mengacukan pistol ke arah pasukan kami sambil melarikan diri ke tengah sungai ke arah Thailand.

"Penyeludup melepaskan dua das tembakan ke udara serta ke arah pasukan penguat kuasa sebaik berada di tengah-tengah sungai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihaknya cuba menghadang bot jabatan untuk melindungi tiga pegawai dari terkena tembakan.

Katanya, ketika bot jabatan sedang menarik bot kes untuk dibawa balik ke pejabat, penyeludup sekali lagi melepaskan satu das tembakan ke arah pasukan operasi.

Wan Jamal Abdul Salam berkata, Pasukan Operasi Penguatkuasaan mempercepatkan bot jabatan untuk berpusing menyebabkan bot kes yang sarat dengan petrol tenggelam.

Menurutnya, pasukan terpaksa memotong tali bot enjin galah penyeludup yang ditarik dan terus memecut meninggalkan lokasi bagi memastikan keselamatan pegawai.

"Semua pasukan operasi dapat menyelamatkan diri dari ancaman tembakan ugutan yang dilakukan oleh penyeludup.

"Ancaman seperti ini sedikitpun tidak melunturkan semangat warga kerja JKDM dan kami akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 5:40 PM