GOH kesal dengan insiden pergaduhan membabitkan dirinya. FOTO tangkap layar media sosial BFM Radio
GOH kesal dengan insiden pergaduhan membabitkan dirinya. FOTO tangkap layar media sosial BFM Radio
Redzuan Muharam


Seberang Jaya: Pemilik kedai runcit, Goh Yap Eng yang tular selepas terbabit dalam pergaduhan 'satu lawan satu' awal bulan lalu mengakui kesal dengan tindakannya ketika insiden berkenaan.

Goh, 49, tampil mengulas mengenai insiden itu ketika ditemubual stesen radio yang rakamannya dimuat naik menerusi akaun Facebook BFM Radio.

Dalam temubual itu, Goh menjelaskan pergaduhan membabitkan dirinya bersama seorang lelaki itu bukanlah berpunca daripada isu perkauman atau mabuk.

"Insiden 'one by one gentlemen' hari itu, bukan kita yang minta.

"Sebenarnya ini tidak berkaitan dengan kaum atau mabuk. Sebab ada orang ramai kata ia berpunca dari mabuk. Tetapi bukan.

"Setiap orang mabuk ada tahapnya. Contoh kalau saya sendiri mabuk, hanya duduk diam-diam. Saya akan pergi tidur, tonton televisyen ataupun layan (mendengar) muzik saja," katanya.

Menurutnya, insiden itu menyebabkannya tidak tenteram malah sukar tidur walaupun selepas dibebaskan polis daripada tahanan lokap.

"Pada hari Rabu malam ketika video itu tular, saya tak boleh tidur sampai Khamis.

"Hari Khamis polis ambil masuk lokap dua hari sampai Sabtu, petang keluar saya tak boleh tidur.

"Kalau boleh pilih, (saya) tak nak (kejadian) hari itu tak berlaku," katanya.

Sebelum mengakhiri temubual, Goh yang mewarisi perniagaan bapanya turut menasihatkan individu belajar seni mempertahankan diri supaya tidak menggunakan kelebihan dimiliki untuk bergaduh.

"Saya nak nasihat kepada semua orang yang belajar taekwondo ataupun kung fu, janganlah ajak orang bergaduh.

"Itu bukan perangai orang belajar seni mempertahankan diri.

"Saya harap jangan terjadi isu kaum, Malaysia patut harmoni, harap rakyat Malaysia bersatu.

"Jangan gaduh-gaduh, itu semua tak berbaloi," katanya.

Pada 5 Jun lalu, tular video menunjukkan pergaduhan antara Goh dan pelanggannya mencetuskan kekecohan di media sosial.

Dalam video itu, seorang pelanggan menghempas topi keledarnya di tempat juruwang dan mencabar Goh untuk berlawan satu lawan satu.

Polis menahan kedua-dua lelaki terbabit mengikut Seksyen 324 dan 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mereka ditahan dua hari dan dibebaskan pada 8 Jun.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, kedua-duanya saling bermaafan dan menarik balik laporan polis masing-masing.

Sejak itu tular di media sosial gambar mereka bersalaman dan tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 5:29 PM