RADIN Imran tiba di mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis. FOTO Nur Aisyah Mazalan
RADIN Imran tiba di mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Prosiding pendakwaan lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, berlangsung dalam suasana tegang.

Ia berikutan tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, beberapa kali menyanggah pertuduhan yang dibacakan selain tidak berpuas hati dengan beberapa butiran pertuduhan ke atasnya.

Ketika pertuduhan pertama selesai dibacakan terhadap Radin Imran, dia tiba-tiba menyatakan tidak memahami pertuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Radin Imran berkata, dia memahami pertuduhan pertama iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

"Saya tidak berapa faham pertuduhan itu kerana sejak 2014, saya ajak keluarga asingkan diri," katanya.

Ia menyebabkan Che Wan Zaidi memberi penjelasan bahawa prosiding berlangsung hari ini hanyalah sebutan pertuduhan.

"Hari ini hanya baca pertuduhan dan ia akan dibicarakan nanti pada tarikh yang lain," katanya menyebabkan tertuduh pertama akur.

Namun Radin Imran sekali lagi menyanggah apabila pertuduhan kedua selesai dibacakan yang membabitkan memberi sokongan perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS.

"Saya tak faham. Saya tak ada senjata api," katanya.

Namun hakim sekali lagi menjelaskan prosiding hari ini hanya membabitkan sebutan pertuduhan.

"Encik Radin, ini baru pertuduhan, belum didapati bersalah lagi. Encik boleh melantik mana-mana peguam untuk membela ketika perbicaraan nanti," katanya.

Radin Imran kemudian bertanya hakim sama ada dia boleh membela dirinya sendiri sebelum dijawab hakim, dia boleh berbuat demikian jika tidak mahu melantik peguam.

Prosiding kemudiannya berjalan lancar dan diteruskan dengan pertuduhan ke atas tertuduh kedua iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, yang juga anak sulungnya, isterinya, Rosna Jantan, 59, dan dua anak perempuan, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Kira-kira 20 anggota polis bersenjata turut berada dalam kamar mahkamah ketika prosiding berlangsung bagi mengawal kesemua tertuduh.

Terdahulu, ketibaan Radin Imran bersama empat lagi ahli keluarganya di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, di sini, dikawal ketat lebih 30 anggota polis bersenjata.

Persekitaran kompleks mahkamah turut dipenuhi puluhan anggota polis bersenjata yang mengawal ketat semua pintu masuk sejak jam 7 pagi.

Prosiding yang berlangsung kira-kira 40 minit itu berakhir dengan hakim memerintahkan tiada jaminan dibenarkan terhadap kesemua tertuduh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Julai depan bagi pengurusan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 12:36 PM