ADA makanan yang ditinggalkan begitu saja di maahad tanpa memaklumkan pihak pengurusan. FOTO Arkib NSTP
ADA makanan yang ditinggalkan begitu saja di maahad tanpa memaklumkan pihak pengurusan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: "Kami memang terbuka untuk menerima sumbangan atau sedekah daripada orang ramai yang prihatin, tapi jangan memilih kami untuk melepaskan tanggungjawab membuang lebihan makanan," kata Pengurus Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah di Taman Keramat, Kuala Lumpur, Mohd Suhairi Mohd Danan.

Berkongsi pengalaman pahitnya, Mohd Suhairi berkata, selama 12 tahun maahad tahfiznya beroperasi, pihaknya kerap berdepan isu menerima lambakan makanan hampir basi dan sudah berbuih yang kononnya disedekahkan.

"Terdapat juga kejadian apabila saya terpaksa menghantar pelajar tahfiz ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana keracunan makanan selepas makan makanan yang disumbangkan penderma.

"Sebenarnya kami tidak mengharapkan sumbangan makanan kerana kami juga mempunyai peruntukan dan tukang masak sendiri untuk menyediakan makanan kepada pelajar tapi kami masih menerima lebihan makanan.

"Perkara ini berlaku sehinggakan adakalanya saya terus menolak sumbangan yang diberi untuk mengelak pembaziran daripada berlaku," katanya ketika dihubungi.

Mohd Suhairi berkata, ramai penyumbang tidak memberi pemakluman awal niat mereka mahu 'bersedekah' sebaliknya meninggalkan makanan di pusat tahfiz begitu saja.

"Ada makanan yang ditinggalkan begitu saja di maahad tanpa memaklumkan kepada saya atau pihak pengurusan. Apabila diperiksa, makanan itu kelihatan seakan-akan sisa yang sudah dimakan dan hampir basi.

"Bila ini berlaku, ia menjadi bebanan kepada kami pula kerana perlu memikirkan cara membuangnya," katanya.

Beliau berkata, lebihan makanan yang paling banyak diterima pihaknya berlaku sepanjang Ramadan.

"Lebih ramai yang bermurah hati untuk bersedekah pada bulan Ramadan. Pelajar kami pula hanya seramai 30 orang, tetapi makanan yang diterima seakan-akan boleh mencecah sehingga 100 orang. Siapa yang akan menghabiskan makanan sebanyak itu?

"Jadi demi mengelakkan perkara ini kerap berlaku, saya meletakkan peraturan untuk sentiasa kunci pagar tahfiz dan orang perlu berhubung dengan saya terlebih dulu sebelum memberi sebarang sumbangan tidak kira makanan atau pakaian," katanya.

WARGA emas di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong.
WARGA emas di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong.

Pengurus Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong, Selangor, Mohd Arif Abdullah Azman berkata, pihaknya turut berdepan situasi sama apabila sering menerima sumbangan makanan pada waktu yang tidak bersesuaian.

"Warga emas di sini sebenarnya ada jadual pemakanan mereka tersendiri tetapi penyumbang sering sedekahkan makanan pada waktu yang tidak bersesuaian.

"Contohnya pada bulan Ramadan lalu, mereka memberi makanan selepas waktu Maghrib tetapi warga emas kami kesemuanya sudah makan, jadi pengakhirannya makanan itu tidak diusik malahan ia menambah kerja kepada pihak pengurusan kami untuk membuangnya," katanya.

Beliau berkata, makanan yang diterima juga ditakuti mempunyai bahan tidak sesuai untuk dimakan warga emas kerana risau menimbulkan pelbagai penyakit yang tidak diingini.

"Warga emas ada diet khas mereka dan kadang-kadang kami serta penyumbang sendiri tidak pasti dengan bahan yang terdapat dalam makanan yang dihantar.

"Salah seorang warga emas jagaan saya pernah mengalami cirit-birit selepas makan makanan yang disumbangkan.

"Sekarang jika mereka ingin menyumbang makanan kepada kami, saya akan terus meminta menu makanan yang diberi untuk kaji apa bahan dimasukkan. Saya juga meminta mereka untuk tetapkan masa hantar mengikut jadual kami," katanya.

SEORANG warga emas menikmati juadah disumbang orang ramai.
SEORANG warga emas menikmati juadah disumbang orang ramai.

Bagi Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary di Taman Ayer Panas, Kuala Lumpur, Malar Mathew berkata, pusat anak yatimnya itu juga menerima sumbangan pakaian yang rosak dan berbau daripada penyumbang.

"Bukan semua orang tetapi ada segelintir penyumbang beri pakaian yang memang langsung tidak boleh dipakai untuk anak-anak yatim ini.

"Kebanyakan keadaan baju yang diderma itu adalah dalam keadaan kotor, berbau dan koyak," katanya.

Kata Malar, dia berasa sedih dan kecewa terhadap tindakan penyumbang yang tidak prihatin ketika memberi sumbangan pakaian itu.

"Kalau nak beri pakaian, berilah yang elok. Kalau nampak pakaian itu sudah rosak buang saja tidak perlu hantar kepada kami kerana kami pula yang perlu membuangnya.

"Cuba letakkan diri sendiri dalam situasi sebegini, pasti mereka tidak mahu memakai pakaian yang kelihatan buruk seperti itu lagi. Tidak mungkin ada orang yang ingin memakainya.

"Anak-anak yatim ini memang tiada sesiapa lagi di sisi, jadi orang luar harus hormati mereka dan saya harap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Niat tak ikhlas jika hanya nak habiskan lebihan makanan

Kompos sendiri lebihan makanan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 12:39 PM