FAISAL Halim, gambar fail. FOTO NSTP
FAISAL Halim, gambar fail. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Shah Alam: Penyokong bola sepak tanah air perlu menunggu lebih lama lagi untuk melihat kelibat tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim beraksi di atas padang apabila dikhabarkan luka pemain terbabit belum pulih sepenuhnya.

Situasi terbabit menyaksikan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey perlu terus mengharungi rutin rawatan setiap minggu khusus untuk mencuci lukanya yang belum lagi kering.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon Johan, fokus utama kini adalah bagi memastikan luka Faisal dapat pulih sepenuhnya sebelum pemain itu memasuki fasa seterusnya membabitkan aspek kecergasan dalam misi untuk kembali beraksi di padang.

"Keutamaan kita buat masa ini adalah supaya lukanya kering sepenuhnya. Selagi lukanya belum kering, dia tidak boleh memulakan aktiviti lasak.

"Dia ada membuat fisioterapi ringan yang tidak berpeluh sangat supaya ototnya tidak terlalu keras.

"Dia perlu melengkapkan fasa pertama ini dahulu sebelum boleh mula memasuki fasa kedua. Masih ada luka basah ketika saya melawatnya sebelum ini, ada kuning-kuning yang saya tidak pasti, mungkin nanah tetapi yang jelasnya luka itu belum lagi kering," katanya.

Johan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian antara SFC dengan Johawaki Holdings Sdn Bhd sebagai rakan strategik di Pusat Latihan SFC, sebentar tadi.

Selain itu, Johan berkata, pemain itu menunjukkan perkembangan sangat positif dan tetap bersemangat apabila tidak sabar untuk kembali beraksi.

"Perkembangannya sangat memberangsangkan apabila doktor memaklumkan dia memerlukan tempoh tujuh minggu di hospital, tetapi dia sudah keluar dalam tiga ke empat minggu.

"Sepatutnya dia menjalani sembilan pembedahan tetapi hanya empat pembedahan saja.

"Saya rasa ini berkat doa seluruh rakyat Malaysia dan ketika ini, dia hanya fikir untuk kembali ke padang. Semangatnya begitu besar, tetapi badannya masih belum bersedia.

"Saya katakan kepada Faisal supaya dapat bersabar, ambil masa untuk sembuh sepenuhnya dan fokus kepada kecergasan sebelum dapat kembali bermain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 2:02 PM