DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Tan Sri Razarudin Husain  turut serta solat Jenazah anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Tan Sri Razarudin Husain turut serta solat Jenazah anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Skuad KhasMetro Ahad

Kuala Lumpur: Berpandangan bahawa sekolah kerajaan itu 'taghut' (amalan yang menyesatkan) menjadi pegangan kepada salah seorang daripada keluarga suspek kes serangan balai polis di Ulu Tiram, Johor pagi kelmarin.

Difahamkan individu itu juga gemar membaca kitab secara sendirian dan mengambil maksud atau terjemahan ayat al-Quran secara literal tanpa tafsiran ulama.

Penganalisis Keselamatan dan Kajian Pengganas, Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, berdasarkan maklumat, salah seorang daripada keluarga suspek berpegang kepada pandangan berkenaan.

Menurutnya, pandangan itu adalah dasar kepada pegangan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang melihat sistem pada hari ini sebagai 'taghut; dan perlu menolaknya.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi menyatakan bahawa keluarga suspek kuat berpegang kepada ideologi Jemaah Islamiyah (JI) berkenaan.

"Ini termasuklah pandangan Salafi Wahabi serta Salafi Takfiri yang gemar membidaahkan orang, mensyirikkan amalan orang dan sehingga kepada elemen takfiri sekali gus menghalalkan darah individu berkenaan," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Undang-Undang dan Keselamatan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, jika menyentuh tentang 'piramid ekstremisme' menjelaskan bahawa setiap gerakan pengganas serta radikal mempunyai asas kepada piramid berkenaan.

"Berdasarkan konsep ini, dasar piramid adalah 'individu yang bersimpati' berkaitan perjuangan atau ajaran namun ia masih tidak membabitkan keganasan secara fizikal.

"Selepas itu, jika mereka meneruskan mengikuti sesuatu ajaran, individu itu akan pergi ke tingkatan lebih tinggi iaitu 'pendokong' atau 'aktivis' dan mereka akan mengikuti rapat sesi kuliah anjuran kumpulan terbabit.

"Ketiga adalah 'ekstremis' dan untuk tahap ini, individu itu akan menjadi pendukung kuat sesebuah kumpulan dan bermulanya kepada tindakan label-melabel orang lain yang tidak sealiran dengan mereka," katanya.

Seterusnya beliau berkata, individu itu akan menjadi radikal dengan melakukan serangan secara lisan terhadap mana-mana individu yang menentang ajaran terbabit.

Menurutnya, jika individu itu tidak dipulihkan atau ditahan, maka dia akan menjadi seorang 'militan' dan pada tahap ini, serangan secara fizikal akan berlaku.

"Akhirnya, individu itu akan menjadi 'pengganas' iaitu melaksanakan aktiviti keganasan berskala besar dan sistematik demi mencapai objektif mereka," katanya.

Menurutnya, setiap ajaran sesat itu perlu ditangani sejak daripada awal untuk mengelakkan mereka yang terjebak menjadi lebih ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 12:01 PM