AHLI keluarga Muhammad Firdaus di rumah mereka. FOTO Zuhainy Zulkiffli
AHLI keluarga Muhammad Firdaus di rumah mereka. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Beberapa jam sebelum kejadian, abang menghubungi ibu dan ayah bagi bertanya khabar.

"Sudah menjadi rutin setiap hari mesti abang akan telefon ibu dan ayah sebelum dia memulakan tugas dan tak sangka panggilan pagi tadi merupakan panggilan terakhirnya," kata Alia, 27, adik kepada Kdr Muhammad Firdaus Ramli, mangsa nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, hari ini.

Alia yang ditemui di rumah keluarganya di Pantai Jerjak, di sini, berkata, dia dan keluarganya tahu mengenai nahas itu menerusi media sosial.

"Kami tahu nahas itu menerusi media sosial sebelum terima panggilan daripada kakak ipar yang berada di kem di Sabah antara jam 9.30 hingga 10 pagi memaklumkan abang antara mangsa terkorban.

"Sebaik menerima maklumat itu, ibu, ayah serta beberapa ahli keluarga bergegas ke Pangkalan TLDM di Lumut bagi pengecaman mayat dan proses lain," katanya.

Mengulas lanjut, Alia berkata, setakat ini mereka tidak tahu lokasi jenazah akan disemadikan kerana keputusan itu akan dibuat ibu bapanya di Lumut.

Katanya, kejadian menimpa abang sulungnya daripada tujuh beradik itu memberi kesan kepada keluarga terutama ibu bapanya.

"Abang seorang yang tegas dan tidak suka menyusahkan adik beradik. Kali terakhir kami sekeluarga bertemu ialah pada minggu pertama Syawal di Pangkalan Lumut namun tiada sebarang perubahan ditunjukkan.

"Diharap semua dapat tunggu maklumat lanjut daripada pihak berwajib serta beri ruang kepada kami pada masa ini," katanya.

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

TERKINI: Semua mangsa helikopter TLDM terhempas dibawa keluar

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 3:33 PM