PENGAMAL ABDL yang berkelakuan seperti bayi, merengek, minum susu dan memakai lampin adalah budaya negara luar yang suka perhatian dengan kebanyakannya berlaku dalam kalangan lelaki dewasa. - Gambar internet
PENGAMAL ABDL yang berkelakuan seperti bayi, merengek, minum susu dan memakai lampin adalah budaya negara luar yang suka perhatian dengan kebanyakannya berlaku dalam kalangan lelaki dewasa. - Gambar internet
Aslina Abu Bakar

Kuala Lumpur: Pelik dan sukar dipercayai apabila wujud golongan atau individu bergelar 'bayi dewasa' atau sindrom bayi dewasa.

Bagaimanapun pengamal gaya hidup Adult Baby Diaper Lover atau (ABDL) itu sukar dihidu masyarakat.

Mana tidaknya, mereka menjalani kehidupan sebagai orang dewasa namun memiliki keinginan, tabiat menjadi bayi serta kelengkapan bayi di rumah.

Adam, 35, bukan nama sebenar adalah individu yang mengakui mempunyai sindrom berkenaan.

Dia tidak keseorangan apabila miliki kenalan yang mempunyai minat sama ABDL.

Berkongsi dirinya menghidap ABDL, Adam berasal dari Petaling Jaya, Selangor berkata, keinginan menjadi bayi bermula sejak usia 13 tahun ketika melihat adiknya memakai lampin.

"Satu hari saya rasa nak cuba pakai lampin adik, masa tu kecil lagi.

"Saya ambil lampin adik senyap-senyap, saya cuba pakai dan muat. Masa itu timbul rasa sangat selesa," katanya.

Tidak menghidap sebarang masalah kesihatan, Adam yang juga jurutera berkata, sejak itu perasaan ingin menjadi bayi bercambah.

"Bermula hari itu saya pakai (lampin bayi), ibu bapa tak pernah tahu. Bagi saya pakai lampin membuat saya sangat selesa, tenang. Apa yang ada dalam naluri saya cuma nak pakai lampin," katanya.

Menurutnya lagi, dia tidak menyangka keinginan pelik itu bukan berlaku pada dirinya sahaja.

"Malah, segala kelengkapan bayi dewasa turut dijual di platform komuniti itu. Dengan kemajuan terkini, saya terjumpa kumpulan yang ada naluri sama seperti saya.

"Segelintir mereka hanya suka pakai lampin manakala ada sesetengah lagi berkeinginan dilayan seperti bayi. Ada yang suka kedua-duanya.

"Walaupun enam tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata, sisi pelik ini tidak diketahui isteri.

"Saya tak pakai lampin depan isteri atau keluarga. Namun saya memakai lampin ketika bekerja atau berada di luar rumah,

"Contohnya, tiap kali saya pergi gimnasium, mendaki atau di mana-mana sahaja...kalau ada peluang saya pakai," katanya salah seorang daripada 148 ahli komuniti ABDL dikesan di media sosial.

Tidak menganggap ia perbuatan pelik, dirinya juga tidak terdetik bertemu doktor atau menjalani rawatan psikologi.

Sementara itu pakar psikologi klinikal Kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, ABDL lebih kepada gaya hidup individu tertentu disebabkan kurang kasih sayang, ketidakseimbangan emosi dan tidak tahu cara menyalurkan emosi dengan betul.

"ABDL lebih kepada gaya hidup masyarakat tertentu melayani perasaan mereka. Saya ingin tegaskan ABDL bukan masalah perubatan atau psikologi secara khusus tetapi gaya hidup sesuatu masyarakat itu.

"Namun begitu, gaya hidup ini termasuk elemen psikologi yang membabitkan emosi, tingkah laku orang dewasa tidak wajar," katanya.

Katanya pengamal ABDL yang berkelakuan seperti bayi, merengek, minum susu dan memakai lampin adalah budaya negara luar yang suka perhatian dengan kebanyakannya berlaku dalam kalangan lelaki dewasa.

Siri kedua, kami panjangkan kepada yang pakar hukumnya dari sudut agama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 8:00 AM