NADIR Al-Nuri ketika berjumpa Perdana Menteri sebelum ini. FOTO Ihsan FB Nadir Al-Nuri
NADIR Al-Nuri ketika berjumpa Perdana Menteri sebelum ini. FOTO Ihsan FB Nadir Al-Nuri
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Siapa sangka panggilan yang diterima sehari sebelum Aidilfitri lalu memberi berita paling gembira dan membahagiakan buat Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Apa tidaknya, selepas 183 hari 'terpisah' akibat perang Israel-Palestin, Nadir dapat bertentang mata serta memeluk anak-anaknya dan momen itu disifatkan sebagai satu mimpi.

Bercerita bagaimana anaknya dapat dibawa pulang ke Malaysia, Nadir berkata, watak utama dalam 'Misi Gila' ini adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

"Kisahnya bermula saat Gaza sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri.

"Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) diberikan peluang bertemu watak utama (Anwar) misi menyelamat sebulan lalu di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.

"Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas 'saya akan bantu' dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya," katanya dalam catatan di Facebook, malam ini.

NADIR bersama anak-anaknya.
NADIR bersama anak-anaknya.

Mengakui hatinya mula luluh, Nadir beranggapan itu hanya bahasa orang politik.

Namun, katanya, di dalam suratnya kepada Anwar, beliau mengakhiri ayat dengan 'kepada Allah jualah kami berserah'.

"Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah. Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini.

"Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.

Namun, katanya, nada Farhan kali ini agak berbeza dan serius, malah mengarahkan hanya beliau dan Dr Sani sahaja datang ke satu lokasi khas.

"Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie (filem).

"Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan," katanya.

Katanya, beliau sudah biasa melalui perang di Gaza dan melihat kehilangan serta air mata serta cekalnya kehidupan.

"Tetapi misi ini saya katakan 'Misi Gila' kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan.

"Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah lain," katanya.

Beliau menyifatkan proses itu adalah cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat dengan kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tidak semua berhak untuk dikongsikannya.

"Tetapi watak utama dalam 'Misi Gila' ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri!

"Suka beliau atau tidak, dalam soal Palestin, umat perlukan satu ketumbukan. Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan.

"Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti," katanya.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan Malaysia, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hamas dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Chancellor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut dalam kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa.

"Untuk PMX (Anwar), PMO (Pejabat Perdana Menteri), (Dr) Ahmad Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.

"Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, amin," luahnya mengakhiri catatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 10:08 PM