POTRET Syawal pertama berpakaian sedondon bersama arwah emak
POTRET Syawal pertama berpakaian sedondon bersama arwah emak
Oleh Siti Aishah Ramly

Pagi ini laungan takbir sayup kedengaran dari masjid mengiringi indahnya kemunculan sang mentari.

Sesekali terdengar kicauan burung dari luar jendela bilik, menumbuhkan keriangan di hatiku.

Rumah kayu hasil titik peluh arwah abah mengerah kudrat ini riuh-rendah dengan suara anak-anak saudara yang sedang bersiap, melimpahkan keseronokan tanda meraikan hari kemenangan.

"Maksu, nah. Kakak dah tolong gosokkan." Ah, baru nak melayan perasaan! Panggilan anak saudaraku, Liyana mematikan lamunan.

Dia menghulurkan sepasang baju kurung yang aku minta tolong dia gosok semalam. Aku menyambutnya dengan senyuman sebagai tanda penghargaan.

Namun, hatiku dijentik dengan seberkas rasa kosong tatkala melihat baju itu.

Peristiwa setahun lalu menjengah fikiranku. Ramadan sudah memasuki minggu kedua. Kesihatan emak bertambah merosot sejak dia selesai menjalani pembedahan memotong kaki kiri akibat komplikasi kencing manis yang dihidapinya.

Aku menyatakan hasrat untuk membeli baju raya kepada emak. Besar harapanku semoga ada secebis kegembiraan untuk emak menyambut Aidilfitri nanti.

"Jomlah mak, kita cari kain pasang. Boleh buat baju sedondon dengan anak-anak perempuan mak."

Rasa teruja bersarang di jiwa apabila emak mengangguk tanda bersetuju.

Aku dan kakak sulung membawa emak ke sebuah kedai kain di Bandar Jerantut. Dengan keterbatasan emak untuk bergerak, aku meminta dia menunggu di dalam kereta. Aku masuk ke kedai, melihat beberapa jenis kain yang ada.

"Tidak banyak pilihan, tapi pasti ada yang emak berkenan." Bisikku perlahan.

Beberapa gulungan kain diangkat oleh pekerja kedai tersebut menuju ke kereta. Bersungguh dia melayan, mungkin tanda ihsan sesama insan. Kain satin berona biru, berjalur dan berbunga kelabu menjadi pilihan emak.

Pada Syawal pertama, dengan berpakaian sedondon, kami mengabadikan potret bersama-sama meskipun emak kelihatan sangat tidak bermaya. Namun tiada siapa menyangka, rupanya itulah gambar raya terakhir kami dengannya.

Kemeriahan raya masih mekar namun telah pudar sinarnya buatku sekeluarga. Emak menghembuskan nafas yang terakhir pada 14 Syawal akibat jangkitan kuman.

"Aduh, kenangan itu benar-benar meruntun kalbu! Pandanganku semakin kabur.

Terasa kehangatan air mata membanjiri pipi. Dalam esak kesedihan, baju itu kukucup sepenuh jiwa, membayangkan seolah emak berada di depan mata.

"Selamat Hari Raya, mak. Adik rindu."

Aku menangis sepuasnya. Baju yang sudah bergosok itu kembali renyuk dalam dakapanku.

Hari ini kusarung ia kembali, sebagai pengubat rindu di hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 7:50 AM