TAN (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Farhan Razak
TAN (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Farhan Razak
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Saya tidak bersalah, saya sudah tolong negara banyak lama."

Demikian kata Pengerusi Spanco Sdn Bhd Tan Sri Tan Hua Choon sejurus pertuduhan dibacakan selepas taikun perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9 bilion, lima tahun lalu.

Tan atau lebih dikenali dalam dunia korporat sebagai Robert Tan, 83, hadir ke mahkamah dalam sut berwarna biru dan bertongkat membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Tan didakwa menipu Kementerian Kewangan dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk "Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet," Unit Kerjasama Awam Swasta di kementerian itu.

Ia berhubung terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di Spanco melalui dokumen bertajuk 'Appendix IV (Annex i) Bidder's Profile', dan dengan itu Tan secara tidak jujur mendorong Kementerian Kewangan untuk menganugerahkan kontrak "Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet" bernilai RM3,966,386,628 kepada Spanco, yang mana kementerian itu tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Tender, Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan, Presint 2, Persiaran Perdana, Putrajaya antara 27 dan 28 Februari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh seperti dipersetujui pihak embelaan tokoh korporat berkenaan.

"Syarat jaminan lain, tertuduh dikehendaki serahkan pasport hingga kes selesai dibicarakan dan memohon tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.

"Ketiga, tertuduh tidak dibenarkan mengacau ganggu atau berhubung saksi pendakwaan secara terus atau menerusi pihak ketiga hingga kes selesai," katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Tan, Datuk Wan Azmir Wan Majid tidak membantah cadangan jaminan RM2 juta walaupun ia dilihat sebagai jumlah yang tinggi.

"Anak guam ada 'hypertension,' sakit lutut dan belakang, selain sentiasa memerlukan bantuan perubatan. Pergerakan anak guam bergantung kepada tongkat dan sentiasa dibantu individu lain untuk urusan harian.

"Dalam kes ini, penjamin adalah anak tertuduh. Seterusnya, permintaan untuk menyerahkan pasport menyekat perjalanan dan pergerakan anak guam.

"Dengan demikian, syarat melapor setiap bulan adalah tidak perlu memandangkan ada syarat sedemikian. Secara alternatif, saya memohon untuk mempermudahkan anak guam untuk melapor diri setiap tiga bulan kerana tiada risiko melarikan diri," katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati mewakili Spanco, Razlan Hadri, khuatir tertuduh sebagai pengarah eksekutif syarikat itu yang masih aktif dalam perniagaan tidak sengaja berhubung saksi pendakwaan.

"Boleh kami dapatkan senarai saksi? Apakah maksud kacau ganggu? Saya tahu tak boleh kacau ganggu dalam kes ini tetapi sekiranya tertuduh tak berhubung langsung dengan mana-mana pegawai Spanco mungkin agak sukar.

"Boleh dapatkan penjelasan daripada pendakwaan," katanya.

Mahadi kemudian berkata, pertembungan antara saksi yang masih bekerja di syarikat itu dan tertuduh tidak dapat dielakkan.

"Bagaimanapun, bila kita katakan berkenaan dengan kacau ganggu saksi apabila kami menerima laporan ada cubaan berbincang dengan saksi berkenaan atau sebarang usaha mempengaruhi saksi untuk memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:33 AM