GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes tokoh korporat itu akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi.

Menurut sumber yang dihubungi Bernama, beliau bakal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit.

Sumber memaklumkan pembekuan akaun bank itu adalah susulan siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan terbabit berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan.

Syarikat itu sebelum ini dianugerahkan kontrak 15 tahun bernilai RM4.5 bilion bagi membekal dan menguruskan fleet kenderaan kerajaan hingga 2037.

Berdasarkan surat jemputan SPRM yang diedarkan hari ini, agensi itu memaklumkan sudah mendapat izin untuk mendakwa seorang tokoh korporat di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:01 PM