KESAN kebakaran yang berlaku di kedai serbaneka di Kuantan. FOTO ihsan JBPM Pahang
KESAN kebakaran yang berlaku di kedai serbaneka di Kuantan. FOTO ihsan JBPM Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Kedai serbaneka KK Super Mart yang baru saja beroperasi dua minggu lalu di daerah ini, dibaling `molotov cocktail' pada jam 5.14 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.

Katanya, ketika kejadian, dua kakitangan masing-masing seorang lelaki dan wanita berada di dalam kedai.

"Pada masa itu, secara tiba-tiba kakitangan wanita yang juga juruwang terkejut kerana ada balingan molotov cocktail dari luar premis dan jatuh di karpet laluan masuk ke dalam kedai hingga berlaku kebakaran kecil.

"Dalam keadaan panik, kakitangan itu terus mengambil alat pemadam api dan memadamkannya daripada terus merebak.

"Berikutan kejadian itu, empat rak jualan dalam premis termasuk beberapa barang jualan mengalami sedikit kerosakan akibat terkena percikan api.

"Tiada kemalangan jiwa berlaku dan kejadian itu menyebabkan kedai serbaneka ini mengalami kerugian dianggarkan RM500 akibat perbuatan khianat itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati kedai serbaneka itu baru beroperasi selama dua minggu dan pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di premis bersebelahan bagi mengenalpasti atau mendapatkan maklumat tambahan berkaitan suspek.

Katanya, pihak forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi kejadian untuk mendapatkan bukti dalam melengkapkan siasatan.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada isu penjualan stoking tertera kalimah Allah hingga suspek melakukan perbuatan khianat terbabit.

"Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai enam pegawai dan anggota Balai Bomba Indera Mahkota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di tempat kejadian, kebakaran itu sudah dipadamkan dan anggaran peratusan kebakaran satu peratus kerana tidak membabitkan struktur bangunan dan mangsa," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 12:41 PM