ANTARA aksesori yang mempunyai harga premium dimiliki Dzul.
ANTARA aksesori yang mempunyai harga premium dimiliki Dzul.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Golongan ini bukan sahaja sanggup melabur masa demi menjalani gaya hidup sihat, malah sanggup berhabis ratusan ribu ringgit untuk membeli pelbagai barangan sukan demi kepuasan peribadi.

Aktiviti bersukan secara rekreasi seperti berbasikal, berlari atau menyertai multipsort (terdapat pelbagai disiplin sukan di dalam satu kejohanan) bukan sesuatu yang baharu.

Malah, setiap kejohanan yang diadakan sepanjang tahun penyertaan tidak pernah mengecewakan dan memenuhi kuota penganjur.

Di sebalik gaya hidup sihat itu, terdapat golongan yang sanggup melabur sehingga ratusan ribu ringgit demi prestasi sukan disertai selain memastikan gaya terbaik ketika beraksi.

Fasha, 30, (bukan nama sebenar)

"Saya membeli barangan sukan berbasikal bukan kerana terikut-ikut orang lain," jelasnya ketika ditanya mengenai tindakannya membelanjakan lebih RM100,000 bagi membeli pelbagai barangan sukan sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia bukan seorang yang ketagihan membeli barangan sukan berjenama tetapi lebih kepada mahu meningkatkan prestasi ketika berlatih dan menyertai perlumbaan.

Fasha berkata, dia mula menyertai aktiviti berbasikal sejak tiga tahun lalu selepas mengalami kecederaan akibat aktif berlari jarak jauh.

"Saya tidak menyangka berbasikal dapat memulihkan kecederaan kaki. Ia akhirnya bertukar menjadi minat baharu saya dalam disiplin sukan.

"Basikal pertama dibeli pada harga RM4,000 adalah basikal terpakai milik seorang kawan.

"Bagaimanapun basikal itu didapati mempunyai saiz tidak sepadan dengan tubuh saya, " katanya.

Akibatnya ia memberi rasa tidak selesa ketika berbasikal bagi tempoh masa lama.

"Jadi saya memutuskan untuk membeli basikal kedua pada harga RM36,000 iaitu basikal yang ditempah khas untuk keperluan peribadi.

"Saya menggunakannya tidak sekadar untuk beriadah malah ketika menyertai kejohanan berbasikal," katanya yang mula aktif berbasikal sejak 2019.

Malah, Fasha juga mempunyai 'gravel bike' yang ditempah khas pada harga sekitar RM10,000.

Kata wanita berusia 40-an itu juga, dia juga mempunyai hampir 20 helai baju jersi basikal yang dibeli pada harga antara RM100 hingga RM700 sehelai.

"Selain itu, bib basikal (set seluar berbasikal) dibeli pada harga antara RM200 hingga RM1,000 sehelai.

"Saya turut mempunyai empat pasang kasut berbasikal yang dibeli pada harga melebihi RM1,000 sepasang. Ini tidak termasuk tiga helmet berharga antara RM500 hingga RM900 setiap satu.

"Saya juga memiliki koleksi cermin mata berbasikal yang dibeli pada harga antara RM700 hingga RM1,000 sepasang," katanya.

Menurutnya, dia tidak membeli semua barangan sukan ini secara sekaligus tetapi dibeli sedikit demi sedikit dalam tempoh tiga tahun.

"Pada saya ia bukan satu bentuk pembaziran berikutan barangan yang baik dan berkualiti mampu memberi kesan yang baik kepada prestasi diri," katanya.

Dia yang juga seorang pengurus di sebuah syarikat swasta, memaklumkan hobinya itu adalah mengikut keperluan peribadi dan demi kepuasan diri.

Dzul Izwan, 40

Setiap kali menyertai perlumbaan larian, lelaki berusia 37 tahun ini akan membeli sepasang kasut baharu.

Malah, setiap kasut yang dibeli hanya dipakai dua kali sahaja iaitu sekali sebagai percubaan sebelum kejohanan dan pada hari perlumbaan sahaja. Kasut itu kemudian akan menjadi koleksi peribadi

Serius menjadi pelari amatur sejak 2014, Dzul sudah mempunyai lebih 200 pasang kasut pelbagai jenama dan dia juga mempunyai pelbagai koleksi aksesori serta pakaian untuk larian.

Dzul berkata, dia merasakan setiap kali perlumbaan perlu membeli kasut baharu kerana ia memberi aura positif untuk beraksi dalam pelbagai perlumbaan larian denai dan 'road' yang sentiasa dimenanginya.

"Biasanya kasut yang baharu saya beli tidak akan diulang pakai untuk acara larian seterusnya. Kasut berkenaan akan menjadi kasut latihan harian.

"Apabila penggunaan kasut ini mencecah antara 600 hingga 800 kilometer (km), saya tidak akan gunakannya lagi dan disimpan.

"Kebiasaannya saya akan membeli sekurang-kurangnya satu kasut larian baharu sebulan. Setiap sepasang yang saya beli paling murah pada harga RM300 ketika diskaun dan paling mahal ia boleh mencecah RM1,800 sepasang," katanya.

Jelasnya, dia tidak kisah kepada harga jualan ditawarkan asalnya mempunyai kasut itu mempunyai kualiti yang baik, selesa dan mampu memberi prestasi positif ketika dia berlumba.

"Saya membelinya dengan wang poket sendiri dan tidak mempunyai tajaan daripada mana-mana syarikat kasut walaupun saya banyak kali berada di atas podium. Bagi saya ini adalah ganjaran kepada diri sendiri selepas penat berkerja," katanya.

Selain memiliki ratusan pasang kasut, Dzul juga pernah mempunyai lebih 100 topi yang dibeli pada harga antara RM89 hingga RM300 setiap satu. Malah, dia juga mempunyai dua pasang tongkat mendaki atau poles berharga RM999 sepasang.

Selain itu dia turut mengumpul aksesori lain seperti stokin, cermin mata, beg hidrasi dan jam tangan.

"Ada juga barangan yang saya tidak gunakan lagi saya jual kepada pembeli sekunder kerana ia masih keadaan baik dan barangan sukan yang berkualiti biasanya mudah mendapat pembeli baharu, katanya.

Husna, 36, (bukan nama sebenar)

Pengurus Pemasaran syarikat swasta ini sudah membelanjakan tidak lebih RM20,000 setahun untuk perbelanjaan aktiviti sukan antaranya membeli barangan kelengkapan dan membayar yuran pendaftaran perlumbaan larian jarak jauh, berbasikal dan multisport.

Husna berkata, dia mula menceburi aktiviti sukan sejak 2018 bermotifkan matlamat bagi mengurangkan berat badan sebelum ketagih dengan sukan disertainya itu.

Katanya, sejak menyertai aktiviti larian, dia membeli dan memiliki 50 pasang kasut yang dibeli pada harga antara RM600 hingga RM1,200 sepasang.

Manakala, bagi kasut berbasikal pula, dia mempunyai tiga pasang kasut setahun yang dibeli pada harga bermula RM1,100.

"Selain kasut, saya juga mempunyai aksesori lain seperti enam beg hidrasi yang dibeli bermula pada harga RM700 hingga RM1,200 setiap satu. Saya turut membeli tiga unit lampu kepala untuk aktiviti larian berharga RM450 hingga ke RM800 setiap satu.

"Tidak sekadar itu, saya juga mempunyai sepasang tongkat mendaki atau hiking poles yang dibeli pada harga RM1,200. Sebenarnya banyak lagi aksesori lain seperti topi, pakaian serta tiga basikal yang dibeli pada harga bermula RM20,000 setiap satu," katanya.

Husna berkata, dia akui membeli barangan sukan berjenama yang mempunyai kualiti sekali gus berupaya memberi prestasi terbaik ketika perlumbaan.

"Pada awalnya, saya hanya mahu melengkapkan barangan sukan diperlukan, namun ia akhirnya menjadi satu tabiat untuk berbelanja lebih demi kepuasan.

"Saya juga melihat koleksi barangan sukan yang dimiliki sebagai satu hadiah peribadi yang tidak akan dijual kepada pembeli sekunder kerana setiap barang mempunyai nilai sentimental tersendiri," katanya.

Jelasnya, bagi menyertai acara perlumbaan amatur di Malaysia, harga yuran dibelanjakan juga mencecah ratusan ringgit kerana ia mengikut kepada jarak dan kualiti penganjur.

"Kebiasaannya untuk menyertai satu acara perlumbaan saya berbelanja hampir RM2,000 untuk membayar yuran penyertaan, penyediaan barangan, membeli keperluan nutrisi dan menggunakan khidmat jurulatih peribadi," katanya.

"Walaupun saya bukanlah ahli sukan profesional tetapi pelaburan wang kepada aktiviti sukan boleh memberi kesan baik kepada kesihatan mental dan fizikal sendiri," katanya.

Berbelanja besar bukan halangan

Tiga penganjur perlumbaan sukan tempatan mendapati golongan yang aktif di dalam sukan amatur tidak kisah berbelanja besar untuk menyertai pelbagai kejohanan selagi ia berbaloi dan sesuai dengan minat peribadi.

Meskipun kadar yuran penyertaan kejohanan sukan meningkat dari masa ke masa, tetapi ia tetap mendapat sambutan sama ada daripada peserta baharu mahu pun golongan yang sudah biasa menyertainya.

Penganjur acara sukan larian denai ultra, Bold Events Management mendedahkan yuran untuk acara larian yang dianjurkan seperti Cultra di Cameron Hihglands, Pahang bermula pada harga RM90 hingga RM520 seorang mengikut kategori jarak disertai peserta.

Pengarah Media dan Komunikasinya, Azlihana Abdul Rahim berkata, Cultra dianggap salah satu acara larian ultra premium di Malaysia kerana membabitkan penyertaan memberangsangkan setiap tahun.

"Ketika tahun pertama penganjuran pada 2016, hanya 850 peserta berdaftar. Namun pada tahun ini kami berjaya menarik 2,450 penyertaan tempatan dan luar negara.

"Meskipun industri acara larian komersial agak terkesan akibat impak Covid-19, cultra masih dapat mengekalkan momentum berikutan masyarakat mula sedar mengenai gaya hidup sihat," katanya.

Sementara itu Pengarah The North Face Malaysia Mountain Trail Festival, Eugene Tan berkata, ketika awal acara itu diadakan pada 2018, ia disertai 1,400 peserta.

"Namun pada tahun ini, seramai 3,000 peserta mendaftar diri.

"Kadar harga yuran pula bermula RM120 hingga RM500 mengikut kategori. Aktiviti sukan ini semakin mendapat sambutan dan ia juga turut memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

"Peserta tidak kisah untuk membayar yuran kerana terlalu minat untuk menyertainya," katanya.

Sementara itu, bagi penganjur pelbagai disiplin sukan mencabar (multisport) tempatan, 30 Ascend Services, aktiviti kecergasan kini menjadi gaya hidup masyarakat di Malaysia dan mereka akan menyertai pelbagai perlumbaan untuk menguji prestasi diri.

Pengurus acaranya, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah berkata, aktiviti sukan membabitkan peserta amatur seperti larian denai, ultra, berbasikal, multiport mula mendapat tempat kerana ia menonjolkan gaya hidup baik dalam kalangan individu menyertainya.

"Meskipun yuran dikenakan kepada mereka namun golongan ini faham kesukaran untuk menganjurkan acara berkenaan," katanya yang menganjurkan acara Larian Ultra, Trail Duathlon dan Multisport.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:20 AM