TANGKAP layar notis penamatan yang tular. Foto ihsan pembaca
TANGKAP layar notis penamatan yang tular. Foto ihsan pembaca
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Patut ada limitasinya yang boleh menghadkan kuasa-kuasa secara mutlak Ahli Parlimen dalam anggota pentadbiran kerajaan daripada boleh memberi kuasa veto macam itu sahaja terhadap penjawat awam."

Itu komen Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) Alwi Shakir Abdullah berhubung penamatan Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebagai Ketua Pengarah KPPLPPM dalam notis singkat.

Notis berkenaan tular di media sosial dengan surat itu ditandatangani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengulas lanjut, Alwi berkata tindakan itu bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan menteri tidak boleh campur tangan urusan penjawat awam.

"Kita faham ada kuasa eksekutif menteri atau mana-mana ahli politik sebagai Ahli Parlimen yang dalam pentadbiran.

"Tetapi di manakah had kuasa sehingga boleh menggunakan keseluruhan kuasa dia untuk membuat perkara seperti ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, berpegang kepada prinsip tatakelola baik serta kebajikan seseorang yang berstatus pekerja, KPPLPPM berpandangan isu itu perkara serius terhadap penjawat awam.

Menurutnya, ini kerana berdasarkan tarikh surat dikeluarkan serta tarikh kuatkuasa surat iaitu lima hari adalah amat singkat sekali gus mengundang imej dan persepsi yang tidak baik terhadap mana-mana pihak yang menghadapi situasi yang sama.

"Bagi perkara ini, KPPLPPM mengambil pendirian bahawa perlu juga ada satu tempoh masa yang lebih adil diberikan agar keharmonian dikekalkan bukan sahaja di dalam agensi malahan dalam kalangan penggiat industri.

"Perkara ini jelas menimbulkan kegusaran sebagaimana kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen dan juga penggiat industri yang akhirnya boleh memberi kesan kepada pekerja-pekerja di sektor perhotelan dan pelancongan yang meliputi hampir tiga juta pekerja. Persoalan yang diutarakan oleh pihak industri selaku pemegang taruh wajar diberi penjelasan," katanya.

Alwi berkata, KPPLPPM berpandangan bahawa satu pekeliling atau arahan berkenaan pertukaran, peminjaman atau penamatan tanpa sebab munasabah seumpamanya perlu diwujudkan klausa berkenaan tempoh masa notis sekurang-kurangnya sebulan atau lebih bagi mengelakkan perkara sama berulang sekali gus dapat menepis persepsi negatif terhadap penjawat awam secara amnya.

"KPPLPPM juga berpendapat bahawa Tribunal Penjawat Awam juga perlu diwujudkan kembali agar terdapat platfom yang dapat digunakan untuk representasi diri jikalau merasakan penganiayaan telah berlaku terhadap mereka.

"Pihak KPPLPPM bersedia untuk bertemu Menteri (King Sing) dalam masa terdekat bagi mendapatkan pencerahan dari beliau sendiri berhubung perkara ini.

"Di pihak sana pun tidak memberikan apa-apa kenyataan lagi melainkan ada khabar angin kononnya tindakan itu disebabkan faktor prestasi. Tetapi ukuran prestasi kepada industri pelancongan antaranya adalah ketibaan pelancong, data yang dikeluarkan pun meningkat tiada masalah, penerbangan juga berlaku peningkatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:02 PM