HARIZ tak berkecil hati dilabel artis pertandingan, malah terus berusaha harum nama dalam industri hiburan.
HARIZ tak berkecil hati dilabel artis pertandingan, malah terus berusaha harum nama dalam industri hiburan.
Syafil Syazwan Jefri


MENCIPTA nama sebagai penyanyi bukan perjalanan mudah. Bagi penyanyi berbakat besar, Hariz Fayahet, kehadirannya dalam industri muzik tanah air menerusi program Bintang RTM (BRTM) 2018 membuka mata banyak pihak untuk melihat bakat yang ada padanya.

Tidak hanya itu, Hariz membuktikan kemampuannya sebagai pelantun suara sehingga diangkat sebagai juara program realiti itu.

Ia sekali gus menjadi pembuka pintu buat penyanyi yang kini berusia 28 tahun ini untuk terus melangkah jauh dalam arena muzik.

Namun, perjalanan seninya tidak berkembang dengan terlalu pantas, sebaliknya naik sedikit demi sedikit, namun konsisten.

Hariz yang pernah menyertai beberapa pertandingan lain berkongsi kisah perjalanan seninya sebagai penyanyi.

"Selepas menjuarai BRTM, saya kerap juga menyertai beberapa pertandingan lain antaranya D'Academy Asia pada 2018 dan Lagu Cinta Kita 2021. Sejak itu, saya bernaung di bawah label Alternate Records & Talents.

"Kalau bercerita mengenai perkembangan kerjaya saya, ia agak perlahan. Tapi, saya gembira melihat perkembangannya. Setiap tahun, saya ada keluarkan lagu dan orang pun makin kenal.

"Tapi, saya akan terus cuba berusaha untuk memperkenalkan nama saya. Ini adalah minat saya dan tanpa nyanyian, siapa saya," katanya.

Ditanya sama ada timbul kerisauan andai namanya dilabel sebagai artis pertandingan sahaja berbanding artis komersial, Hariz tidak pernah melihat itu sebagai satu masalah buatnya.

"Kalau ada pertandingan lagi selepas ini, mungkin saya sertai lagi. Selain itu, saya akan terus hasilkan kandungan seperti 'cover' lagu dan sebagainya.

"Kalau ada yang melabel saya sebagai artis pertandingan, terpulang kepada mereka. Mungkin betul dan mungkin juga tidak. Yang penting, saya tak ambil hati pun. Kalau di situ ada rezeki untuk saya, saya teruskan.

"Perjalanan setiap orang itu berbeza-beza. Mungkin Tuhan bagi rezeki yang cepat kepada seseorang dan mungkin juga rezeki yang lebih lambat kepada seorang yang lain. Kita sebagai anak seni kena bekerja keras untuk lonjakkan nama kita.

"Saya yakin usaha tak pernah mengkhianati hasil. Kita takkan tahu, mungkin esok atau lusa, rezeki saya pula untuk ada karya yang tular dan dikenali," katanya.

HARIZ yakin usaha tidak pernah mengkhianati hasil.
HARIZ yakin usaha tidak pernah mengkhianati hasil.

Bercerita mengenai perasaannya saat berdepan kecaman, Hariz sentiasa mengingatkan dirinya mengenai perkara itu. Bahkan, ia sudah disemat di fikirannya sejak awal lagi.

"Saat melangkah masuk dalam industri, saya dah setkan dalam fikiran saya bahawa kecaman itu akan ada dan datang. Saya tak boleh nak tutup mulut orang. Jadi, kita dengarkan sahaja.

"Mungkin kita akan terasa, tapi jangan lama-lama. Jangan terbawa dengan perasaan sampai murung atau kena 'anxiety'. Saya anggap setiap kecaman itu sebagai pembakar semangat.

"Antara komen paling 'pedas' yang dilontarkan kepada saya adalah bila orang kata saya tak ada aura sebagai bintang pop. Ada juga yang menganggap saya terlalu mencuba dan ada suara yang menjengkelkan.

"Bahkan ada juga yang menyuruh saya tukar gaya nyanyian saya. Mungkin ada yang anggap cara nyanyian saya ketinggalan zaman. Tapi, saya bermuhasabah diri dengan semua komen itu," katanya.

Hariz mempertaruhkan single berjudul Sinar Sunyi yang juga menjadi lagu OST untuk drama bersiri Menanti Senja di TV3.

"Single berjudul Sinar Sunyi ini adalah single ke-11 saya sepanjang berada dalam industri. Ia mengisahkan mengenai seseorang yang menyinari hidup seseorang walaupun dia sendiri dilanda masalah.

"Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan Omar K dan sebenarnya ini salah satu impian saya. Memang saya akui, perasaan saya sangat teruja.

"Suasana rakaman sangat positif dan dia berikan kebebasan kepada saya untuk menginterpretasikan lagu itu mengikut pemahaman saya dan mengolah lagu ini menggunakan kreativiti saya.

"Alhamdulillah, proses rakamannya tak memakan masa lama, kira-kira sejam sahaja dan semuanya berjalan lancar," katanya.

Peluang menyanyikan lagu OST drama popular itu sedikit sebanyak membuka mata lebih ramai peminat baharu yang terdiri daripada kalangan penonton drama itu.

"Jadi, lagu Sinar Sunyi ini turut diangkat menjadi OST untuk drama bersiri Menanti Senja di TV3. Sambutannya menggalakkan memandangkan ramai penonton yang dapat mengaitkan lagu ini dengan kisah pengalaman mereka.

"Untuk membawa lagu ini lebih jauh sehingga peringkat Anugerah Juara Lagu (AJL) atau apa sahaja, saya serahkan kepada label. Harapan saya tetap sama seperti sebelum ini, di mana saya mahu karya saya mengetengahkan nama saya dalam industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:40 AM