TANGKAP layar video tular memaparkan sebuah suaru dibina di tengah lautan. FOTO Tular
TANGKAP layar video tular memaparkan sebuah suaru dibina di tengah lautan. FOTO Tular
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: 'Wakaf singgah solat. Anda dijemput singgah solat di sini'. Itu tulisan yang ditulis pada papan tanda di sebuah tempat solat iaitu surau atau musola di tengah laut yang mendapat perhatian dan pujian netizen di TikTok.

Video dikongsikan seorang pengguna TikTok itu tanpa menulis keterangan mengenai surau berkenaan dan lokasinya meraih perhatian ramai dengan netizen menghargai serta memuji usaha dilakukan individu yang membina binaan itu.

Menyemak di ruangan komen ada netizen yang mendakwa lokasi surau di tengah laut itu terletak di Pulau Pinang dan ada juga yang mengatakan ia berada di Bagan Tiang, Perak.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, agama Islam menggalakkan pembinaan masjid atau surau.

Menurutnya, kawasan mempunyai orang Islam, negara, negeri dan perkampungan Islam digalakkan membina masjid atau surau sebagai syiar kepada agama, negara serta kawasan yang mempunyai ciri ketamadunan dan pensyariatan Islam.

"Kita diwajibkan untuk solat di mana kita berada di udara, di lautan, di darat kita wajib sembahyang (termasuk) jika orang itu berada di luar angkasa, berada di dalam dasar laut tetap wajib sembahyang jika mempunyai kemampuan untuk solat (tetapi) kalau kita tak mampu kita kena qada di tempat sesuai.

"Jadi apabila berada di tengah laut, kita wajib solat, wajib solat diatas kenderaan (bot) kalau memang di tengah-tengah laut itu tiada surau atau masjid," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Justeru katanya, pembinaan musola kecil di kawasan perairan adalah perbuatan terpuji serta menggalakkan orang menunaikan solat sekali gus mengingatkan mereka supaya tidak lupa Allah SWT dan mengerjakan solat walau di mana mereka berada.

"Saya harap siapa saja berada di lautan untuk menunaikan solat di mana jauh mereka berada jika memang ada surau untuk solat, maka digalakkan untuk menghidupkan surau (biarpun) solat di atas kapal atau bot tiada masalah dan sah cuma ada orang lebih selesa solat di tempat tidak bergerak.

"Ada sebahagian orang, dia cuba membina sebuah surau di tengah laut untuk memberi keselesaan beribadah kepada Allah SWT, maka itu amat terpuji kerana berusaha memenuhi hak Allah dan hak mereka kepada Allah," katanya.

Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh dan I'jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, pembinaan surau itu memberi kemudahan untuk menunaikan solat dan usaha itu juga bagus dan akan menerima ganjaran Allah SWT.

"Pembinaan surau itu bukan saja memberi keselesaan kepada orang yang ingin bersolat, malah boleh juga menjadi tempat persinggahan. (Memang) di mana saja kita boleh solat walau di atas bot atau kapal dan tidak mesti masjid atau surau.

"Tetapi kalau ada masjid (atau surau) lagi mudah dan lebih baik," katanya.

Pengguna TikTok @abdulrazakustaz mendakwa, dia pernah menunaikan solat berjemaah dengan rakan yang juga nelayan di musola berkenaan dan Zulkhairi turut menulis "semoga bermanfaat kepada pemancing atau nelayan sekitarnya."

@itsbat69 turut memuji tindakan pihak yang membina surau dan berdoa Allah memberi ganjaran sebaiknya, manakala @ijafauziah05 juga berharap Allah memberi rezeki melimpah ruah kepada pihak yang membangun tempat solat di laut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 3:09 PM