IBU Pejabat SPRM. FOTO NSTP
IBU Pejabat SPRM. FOTO NSTP
Qistina Sallehuddin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menegaskan akan memanggil individu yang terbabit dalam keputusan pemberian kontrak pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Berikut apa yang kita tahu mengenai kes itu, setakat ini:

Apakah Spanco?

Spanco ialah penyedia penyelesaian pengurusan kenderaan konsesi bebas terbesar di negara ini, yang ditubuhkan pada 1988.

Pada 1993, Spanco diberi perjanjian konsesi selama 25 tahun dengan kerajaan, yang membenarkan syarikat itu menyediakan dan memajak kereta dengan perkhidmatan penyelenggaraan penuh untuk kerajaan.

Apakah skandal mengenai Spanco?

Pada 2019, perjanjian konsesi Spanco dengan kerajaan tamat tempoh. Berikutan itu, tender terbuka dimulakan oleh kerajaan untuk kontrak membekal, menyelenggara dan mengurus kenderaan konsesi untuk 15 tahun akan datang. Cadangan dilaporkan diterima daripada sekurang-kurangnya tujuh syarikat.

Pada tahun yang sama, Berjaya Group dan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd membentuk konsortium untuk bersama-sama membida kontrak yang menguntungkan itu.

Bagaimanapun, pengasas Berjaya, Tan Sri Vincent Tan pada 17 Julai tahun lalu memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) dan Spanco berhubung Surat Niat (LoI) yang ditamatkan dan mendakwa kontrak itu sudah diberikan kepada Spanco, walaupun mereka membuat tawaran lebih tinggi.

Tan berkata, konsortium itu menerima LoI daripada kementerian untuk menggantikan Spanco, tetapi kontrak itu ditamatkan secara tidak adil sebelum anugerah akruan ditetapkan untuk diumumkan.

Bulan lalu, SPRM melakukan serbuan ke atas kediaman seorang ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan konsesi kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Siapa yang terbabit dalam skandal itu?

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, semua individu yang terbabit dalam keputusan pemberian kontrak bagi pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada Spanco akan dipanggil untuk mendapatkan kenyataan mereka.

Ini termasuk bekas perdana menteri dan menteri kewangan ketika tempoh Spanco diberikan kontrak.

Garis Masa kes Spanco

1993: SPANCO dianugerahkan kontrak untuk menguruskan kenderaan konsesi kerajaan

2018: Perjanjian SPANCO dengan kerajaan tamat pada Disember

2019: Kerajaan membuka tender kepada syarikat untuk konsesi membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan untuk 15 tahun

2020: Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsortium untuk bersama-sama membida kontrak yang menguntungkan itu

- Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan mereka sudah memilih syarikat konsesi baharu untuk menguruskan kenderaannya, tetapi ia tidak dinamakan

Julai 2023: Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan memfailkan saman terhadap kerajaan dan SPANCO berhubung Surat Niat (LoI) yang ditamatkan dan mendakwa kontrak itu sudah diberikan kepada SPANCO, walaupun tawaran itu lebih tinggi.

Beliau berkata, konsortium itu menerima LoI daripada kementerian untuk menggantikan SPANCO, tetapi kontrak itu ditamatkan secara tidak adil sebelum anugerah akruan ditetapkan untuk diumumkan.

Januari 2024: SPRM melakukan serbuan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

5 Februari 2024: SPRM turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan.

5 Februari 2024: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian kerajaan dengan SPANCO merugikan negara. Anwar juga berkata, beliau sentiasa berwaspada mengenai isu itu semasa menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir.

6 Februari 2024: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan individu yang terbabit dalam keputusan pemberian kontrak pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada SPANCO akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 6:51 PM