AZAM pada Program Cakna Rasuah Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
AZAM pada Program Cakna Rasuah Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Mereka yang terbabit dalam membuat keputusan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (SPANCO) sejak syarikat berkenaan beroperasi pada 1990-an akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, ia termasuk Perdana Menteri serta Menteri Kewangan ketika itu.

Menurutnya, keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan isu berkenaan.

"Kita akan panggil sesiapa sahaja yang membuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk memberi projek kepada SPANCO.

"Kita lihat sejarah penubuhan syarikat itu pada 1998 atau 1999, sesiapa sahaja yang terbabit ketika itu termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kita akan panggil untuk rekod kenyataan dan mengetahui apa yang mereka tahu berkenaan kes," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah Bersama Pengamal Media Sarawak, di sini, hari ini.

Azam berkata, ketika ini tiada pendakwaan dijalankan kerana pihaknya masih dalam peringkat awal siasatan dan pegawai penyiasat masih memeriksa fakta kes.

"Isu ini yang dilaporkan ke SPRM ialah apabila terjadinya pertikaian selepas pembatalan kontrak pada satu syarikat dan macam mana pula SPANCO dapat kontrak dari dulu hingga sekarang, itu fokus siasatan sekarang.

"Kita sudah memanggil lebih 20 individu dan juga sudah membekukan kira-kira 80 akaun syarikat dan individu yang berkaitan dalam kes itu," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan SPANCO hanya merugikan negara.

Anwar berkata, beliau tahu kontrak terbabit juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan dan beliau tegas terhadap SPANCO itu sejak menjadi Menteri Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 2:27 PM