AZIZULHASNI belum pasti berlumba dalam acara pecut di Adelaide. FOTO ARKIB NSTP
AZIZULHASNI belum pasti berlumba dalam acara pecut di Adelaide. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah teknikal sukan berbasikal negara, John Beasley akan memantau dengan teliti keadaan semasa Datuk Azizulhasni Awang pada kejohanan Piala Negara Trek UCI di Adelaide, bermula Jumaat ini.

Beasley mendedahkan Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai Jijoe kini perlu mengambil ubat perikarditis yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Perikarditis adalah keradangan perikardium yang boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.

Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.

Walaupun ia bukan keadaan serius, namun jika tidak dipantau ia boleh membawa kepada tahap lebih serius.

"Pada mulanya, kami menyangka ia adalah kesan daripada virus yang dialaminya sebelum ini.

"Tapi selepas saya membawanya menyertai perlumbaan minggu lalu, dia mengalami sakit dan sesak di dada. Dia tidak berada dalam keadaan yang baik selepas perlumbaan itu.

"Azizul kemudiannya menjalani pemeriksaan lanjut berhubung keadaannya itu," katanya.

Merujuk kepada keadaan itu, Beasley berkata, dia masih tidak pasti sama ada Azizulhasni akan beraksi dalam acara pecut individu di Adelaide kerana keutamaannya ketika ini adalah mengukuhkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara keirin.

"Tidak pasti (untuk acara pecut) kerana dia masih belum 100 peratus pulih akibat perikarditis.

"Ubat yang dia ambil sedikit mengganggu kondisi badannya. Perancangannya adalah untuk acara keirin dahulu dan kemudian kita lihat bagaimana reaksi tubuhnya," katanya.

Pada 2022, Azizulhasni menjalani pembedahan jantung terbuka selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) sejak kecil.

Dia menghabiskan sebahagian besar untuk musim 2022 menjalani rawatan pemulihan dan kembali semula tahun lalu dengan memenangi emas berganda di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional Nilai, Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 5:42 PM