RAZARUDIN ketika sidang media di IPK Johor. FOTO Ihsan PDRM
RAZARUDIN ketika sidang media di IPK Johor. FOTO Ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis melakukan siasatan secara telus dan menyeluruh bagi menyelesaikan kes pembunuhan Bella atau nama sebenarnya, Mila Sharmila Samsusah, 32.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menafikan dakwaan keluarga mangsa yang mempersoalkan siasatan dilakukan polis termasuk lambat bertindak bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga tidak memberi layanan istimewa terhadap suspek kes pembunuhan Bella terbabit.

"Oh tidak (suspek utama diberi layanan istimewa). Ia sebenarnya begini, siasatan dilakukan secara berperingkat.

"Pertama kita siasat menerusi Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang. Namun, apabila keterangan serta bukti tidak mencukupi, kita beri jamin dahulu, bukan lepaskan (suspek).

"Oleh kerana kita tidak berpuas hati dengan siasatan (awal), oleh itu siasatan diteruskan. Atas usaha Polis Johor khususnya Polis Batu Pahat, kita akhirnya berjaya menemui bukti-bukti yang baharu," katanya.

Katanya, penemuan bukti dan keterangan baharu membolehkan polis menahan semula suspek dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Bukan sebab kita bebaskan (suspek), (tapi) sebab nak beri peluang untuk dia mengerjakan umrah," katanya.

Ahad lalu, kakak kepada Bella yang hilang sejak pertengahan bulan lalu dan dikaitkan dengan penemuan rangka di Tongkang Pechah, mempersoalkan beberapa tindakan polis dalam mengendalikan siasatan kes berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook pada hari sama, Norhisham, 36, antara lain mendakwa pegawai penyiasat enggan berjumpa, selain mempertikai keputusan polis melepaskan suspek atas alasan lelaki itu menghidap penyakit 'tiga serangkai'.

Mengakui keluarga sangat kecewa, Norhisham atau lebih mesra dipanggil Ayu, mencatatkan dia dan Bella sentiasa berkongsi semua perkara dan kali terakhir mereka berhubung melalui aplikasi sembang pada 11.38 malam, 14 Disember.

Dalam hantaran sama, Norhisam mendakwa dia ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan balai polis untuk memaklumkan kehilangan Bella mempunyai unsur jenayah, bukan lagi kes orang hilang (OH) dan nyawa adiknya itu menjadi taruhan, selain mahu berjumpa pegawai penyiasat (IO) kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:23 PM