NOTA tulisan tangan seorang individu yang ditulis pada sehelai kertas yang diserahkan kepada pemilik sebuah restoran. FOTO tular media sosial
NOTA tulisan tangan seorang individu yang ditulis pada sehelai kertas yang diserahkan kepada pemilik sebuah restoran. FOTO tular media sosial
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Assalamualaikum Pakman, duit ni ada RM580. Saya nak Pakman bungkus nasi dan lauk RM580 bagi kepada orang.

"Saya minta doakan ibu saya sihat," itu nota tulisan tangan seorang individu yang ditulis pada sehelai kertas yang diserahkan kepada pemilik sebuah restoran makanan.

Nota tanpa nama itu disertakan bersama wang tunai yang diletakkan dalam sampul yang diberikan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Luqman Hakim yang juga pemilik restoran makanan di Teluk Intan, Perak kelmarin.

Luqman Hakim turut berkongsi nota berkenaan di Facebook (FB) yang mendapat perhatian dan meruntun hati netizen dengan keikhlasan hati individu berkenaan menyumbang makanan percuma untuk diagihkan kepada orang ramai.

Dalam hantaran di FB, Luqman Hakim berkata, dia tidak mengenali individu berkenaan dan sampul berisi nota serta wang tunai itu diserahkan oleh pekerja kepadanya.

"Siapakah anda, saya doakan ibumu sihat ... Siapakah kamu, saya doakan kamu murah rezeki dunia akhirat.

"Orang Teluk Intan ini memang terbaik, buat baik mestilah Allah (SWT) beri yang baik. Terima kasih beri amanah ini di kedai Pakman Nasi Tempurung," tulisnya.

Katanya, amanah individu berkenaan sudah diselesaikan dan pihaknya juga sudah menyerahkan makanan itu kepada orang.

"Terima kasih kepada pekerja saya jujur beri (menyerahkan) saya surat dan wang ini," tulisnya.

Sementara itu, seorang pengguna FB, Aziah Othman menulis,

"Ini yang dikatakan..bila bersedekah sehingga tangan kiri tidak mengetahui. Semoga ibu si pemberi diberi kesembuhan dalam apa jua penyakit yang dihidapi dan dipermudahkan segera urusan si pemberi dan ibu beliau. amiin,"

Mahyudin Suradi Ayem berkata, dia mendoakan ibu individu berkenaan diberikan kesembuhan dan dipermudahkan semua urusan selain turut menghargai tindakan Luqman Hakim yang sudah menyampaikan amanat individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 8:00 PM