HUN paling utamakan sifat komited apabila terbabit jayakan tawaran berlakon.
HUN paling utamakan sifat komited apabila terbabit jayakan tawaran berlakon.
Georgie Joseph


SATU nilai terpenting tersemai dalam diri pelakon Hun Haqeem sebagai anak seni adalah komited yang tidak bertepian. Proses itu dijadikan azimat dalam melunaskan apa juga tawaran mendatang kepadanya.

Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 25, percaya semakin namanya naik dalam industri, semakin besarlah juga tanggungjawab mempamerkan kualiti diri. Dia perlu terbuka atas tuntutan tertentu.

Termasuklah juga tuntutan untuk menayang badan dalam babak lakonannya. Itulah antara komitmen yang baginya tidak menjadi masalah besar sewaktu menjayakan penggambaran siri original Viu, W: Two Worlds.

"Kalau di media sosial pun, saya bukan jenis lelaki begitu. Yang suka buka baju dan menunjuk badan. Tapi suka kongsi pasal senaman untuk galakkan lebih ramai supaya bersenam.

"Dalam watak Aliff Hadi itu, dia seorang yang sangat cergas. Jadi, penampilan dan rasa itu kena menggambarkan dengan karakternya yang 'fit', kemas. Kalau itu permintaan produksi, saya masih okay," katanya.

Apapun, pelakon kelahiran Kuching, Sarawak ini takkan semberono tayang badan kalau bukan kerana tuntutan watak. Dia akui had itu masih ada selagi permintaan produksi berpatutan.

"Saya terbuka bergantung banyak mana mereka tuntut untuk itu (tayang badan). Macam mana ia dapat menunjukkan perwatakan itu. Kadang-kadang kita buka baju itu mesti ada sebab," katanya.

Menariknya, demi siri itu juga Hun berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) daripada 84 kg. Dan proses itu katanya tidak mudah kerana dilakukan dalam tempoh masanya terkekang.

"Masa itu saya dapat siapkan badan dalam tempoh sebulan saja. Saya buat diet dan senaman. Saya pun dalam proses penggambaran ketika itu dan tak boleh komited sangat (buat badan).

"Stres itu ada juga tapi minor saja dan ia stres yang bagus. Cabaran itu yang buat saya nikmati proses terbabit. Ini kerana, pada masa sama banyak hal yang saya teroka mengenai diri sendiri.

"Tak sangka pula saya boleh jadi lebih sihat lagi. Pemikiran begitu boleh guna pakai dalam kehidupan seharian juga. Saya memang catat penurunan itu," katanya.

Kesungguhan Hun juga sebenarnya tidak terhenti di situ saja. Menurutnya proses untuk terus mendapatkan badan ideal seperti dituntut karakter itu tetap berjalan sewaktu penggambaran.

Tapi kerana kesungguhan sedemikianlah juga sebenarnya mengajar dia untuk cekap tangani banyak hal kehidupan. Katanya, semua itu banyak mendatangkan kebaikan untuknya secara peribadi juga.

"Setiap kali kalau ada waktu senggang antara babak, saya minta pelepasan daripada produksi untuk ke gimnasium kawan buat latihan kecergasan dua hingga tiga jam.

"Memang sangat-sangat penat tapi hati rasa puas dan lengkap. Tapi saya akui kenalah juga cari keseimbangan antara bekerja dan menikmati kehidupan itu. Bukan untuk siapa-siapa tapi bagi diri-sendiri," katanya.

Akan tetapi, pada masa sama dia enggan menolak tepi soal kebajikan diri. Cumanya dia bersyukur percaturan untuk memenatkan diri tidak memberi masalah besar dalam mencari keseimbangan itu.

"Kita nak kerja untuk waktu yang lama dan jalani kehidupan sihat. Walaupun saya bersungguh sampai ke tahap begitu, alhamdulillah segalanya dipermudahkan," katanya.

Dalam pada itu, Hun juga jelas semakin selesa menjayakan pelbagai projek OTT (Over The Top). W: Two Worlds menjadi projek keduanya bersama Viu selepas Nenek Bongkok Tiga.

Dia mengakui banyak perbezaan apabila berlakon dengan produksi OTT. Paling menggembirakan baginya adalah pelakon ditatang begitu tinggi dan segala keinginan mereka pasti ditunaikan.

"Memang sangat berbeza apabila menjayakan projek OTT untuk Viu. Nilai produksi yang ditawarkan skalanya jauh lebih besar. Bukan sekadar tertakluk pada bajet saja di mana mereka sediakan setara dengan tuntutan.

"Contohnya, bukan semua pelakon dilahirkan seperti Jackie Chan. Tapi kami kena belajar untuk bertempur, koreografi, dan sebagainya. Mereka sediakan itu dan setiap butir benda yang kami perlukan," katanya.

Kagum dengan Daiyan

Keterujaan Hun juga berganda apabila buat pertama kalinya dapat bergandingan dengan pelakon jelita, Daiyan Trisha dalam naskhah itu. Ia umpama impian lama yang jadi kenyataan buatnya.

Banyak hal dia belajar daripada Daiyan yang turut dijadikan inspirasi dalam dirinya. Paling dia kagumi adalah sifat dedikasi yang sangat tebal dalam diri penyanyi Penat itu.

"Apa yang menarik mengenai Daiyan, dia cukup komited terhadap kerjanya. Apa yang dilakukan, dia buat sepenuh hati. Kalau hendak cakap mimpi jadi kenyataan untuk bekerja dengannya, saya boleh cakap saya gembira dapat mengenali Daiyan sebagai rakan sekerja dan kawan," katanya.

Justeru, dia memang tidak akan menolak andai dapat peluang bergandingan dengan Daiyan lagi selepas ini. Hubungan baik yang mereka sebagai kawan baik baginya teras kuat sesama maju dalam industri.

"Daiyan wanita yang cukup mengagumkan dan kami berkawan baik. Jika ada lagi tawaran untuk saya berlakon dengannya, sudah tentu terima 'on the spot'.

"Saya mahu hasilkan lebih banyak karya bersama seorang yang komited seperti Daiyan," katanya.

W: Two Worlds adalah siri romantik, fantasi dan 'thriller' arahan Datuk Yusry Abdul Halim yang turut dibintangi Faizal Hussein, Elizabeth Tan, Mierul Aiman, Tony Eusoff dan Shahkimin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:00 AM