Suraya Roslan

Petaling Jaya: Selepas 20 bulan turun naik mahkamah, akhirnya penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila dibebaskan daripada tiga pertuduhan dadah.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, mengakui tidak menjangka keputusan mahkamah berpihak kepadanya.

"Tak expect (jangka keputusan hari ini), sebenarnya 50-50. Pada yang mengikuti perbicaraan, nampaklah berat kepada kemenangan (saya) tetapi saya sentiasa bersedia untuk keputusan yang ke kiri atau ke kanan.

"Memang berdebar (menanti keputusan), tapi saya banyak berdoa dan solat. Terima kasih kepada pasukan peguam saya," katanya ketika ditemui selepas prosiding semalam.

Ditanya perancangan selepas diperintah ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, pelantun lagu Mimpi Laila itu mengakui akan menyempurnakan rawatan bipolar dihidapinya di sana.

"Sekarang ini saya perlu kembali ke Tanjung Rambutan (Hospital Bahagia Ulu Kinta), di bawah perkenan Sultan Selangor untuk sempurnakan rawatan bipolar saya di sana dan saya akan kekal di sana selama mana yang Tuanku tetapkan.

"Kemudian daripada itu saya akan buat satu lagi permohonan untuk kembali ke kampung halaman," katanya.

Yasin Sulaiman (tengah). FOTO BERNAMA
Yasin Sulaiman (tengah). FOTO BERNAMA

Yasin turut mengakui akan kembali mewarnai industri hiburan sebaik habis rawatannya di hospital itu.

"Pasti (akan kembali dalam industri), dah banyak lagu yang saya sediakan. Insya-Allah akan terbitkan lagu macam biasa," katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu turut memohon maaf kepada mereka yang terkesan dengan penyakit bipolar dihidapinya.

"Saya juga minta maaf sangat atas sakit bipolar, bukan kali ini saja, minta maaf lah kalau ada terkasar bahasa, saya pernah marah-marah, maki hamun dan sebagainya tak kira lah anda ahli keluarga saya, kawan terdekat, teman sejati , orang yang pernah menyayangi saya, terima kasih dan saya minta maaf banyak-banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:20 PM