AKAN tampil elemen bunyian Borneo dalam konsert mereka.
AKAN tampil elemen bunyian Borneo dalam konsert mereka.
Ridzuan Abdul Rahman


KONSERT Apa Khabar Teman yang berlangsung tahun depan di Persada Johor, Johor Bahru menjadi landasan terbaik buat Estranged untuk meraikan dan mengumpulkan peminat lama dan baharu serta mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan.

Kumpulan dianggotai Rich Gimbang (penyanyi), Nor Hanafi (gitar utama) dan Din Hormatov (gitar) ini sudah lama tidak aktif menyanyi di Semenanjung berbanding dulu.

Sebaliknya mereka lebih aktif membuat persembahan di Sabah, selain terbabit dalam misi amal tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu penduduk setempat.

"Kami sebenarnya tak hilang dan masih aktif menyanyi di Borneo dan menerusi media sosial. Kami banyak terbabit dalam persembahan berbentuk festival serta memenuhi jemputan mana-mana pihak yang mengundang.

"Pada masa sama, Estranged sendiri anjurkan persembahan jelajah untuk mengumpul dana. Kadang-kadang pentas kami adalah atas trak pikap dan dari situ peminat akan menyumbang.

ESTRANGED masih aktif menyanyi di Sabah, selain terbabit misi amal bantu penduduk setempat
ESTRANGED masih aktif menyanyi di Sabah, selain terbabit misi amal bantu penduduk setempat

"Selain itu, ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami buat persembahan secara dalam talian untuk mengumpul dana," kata Rich mewakili rakan-rakannya.

Menurutnya, hasil kutipan dana itu digunakan untuk membantu empat kampung di Ranau dalam penghasilan 'mini hydro generator', manakala di Keningau pembinaan internet jalur lebar.

"Kami mula aktif buat CSR sejak 2016 sehingga 2021. Kawasan pendalaman Sabah berbukit-bukau dan mereka mengalami masalah bekalan air bersih. Jadi, kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dalam menjayakan kerja amal ini," katanya.

Menganggap misi itu berjaya, Estranged kini kembali semula ke kancah industri muzik tanah air selepas tujuh tahun meninggalkannya.

"Ada banyak perkara yang kami ingin kongsikan. la lebih daripada sekadar pertemuan biasa, tetapi mengenai nilai persahabatan yang terjalin antara kami serta peminat Estranged.

"Peminat akan dapat menyaksikan satu persembahan istimewa di mana kami akan memperkenalkan bunyian baharu yang didatangkan istimewa dari seluruh daerah Borneo bagi memperkasakan Warisan Budaya Etnik Borneo.

ESTRANGED kini kembali dengan misi bertemu rakan-rakan dan peminat.
ESTRANGED kini kembali dengan misi bertemu rakan-rakan dan peminat.

TERBABIT dengan kerja amal membantu masyarakat sejak 2016 sehingga 2021.
TERBABIT dengan kerja amal membantu masyarakat sejak 2016 sehingga 2021.

"Ini (bunyian baru) yang kami usahakan sepanjang tidak aktif termasuk ketika dunia dilanda pandemik dan akhirnya sedia untuk diperkenalkan kepada semua," katanya.

Sementara itu, Din berkata, mereka turut menghasilkan dokumentari berkenaan bunyian etnik Borneo atas bantuan Kementerian Komunikasi dan Digital (DKD).

"Saya juga belajar untuk mendalami alat muzik di Sabah dan Sarawak. Kami berjaya hasilkan dokumentari mengenai tiga alat muzik di Sabah dan Sarawak.

"Jadi, kami kembali semula ke Semenanjung untuk beritahu yang kami sudah tidak seperti dulu. Ini kami sekarang dengan elemen Borneo," katanya.

Konsert Estranged Apa Khabar Teman? turut digerakkan menerusi inisiatif yang digerakkan oleh KKD melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 6:02 AM