SEBUAH masjid yang dimusnahkan rejim zionis di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters
SEBUAH masjid yang dimusnahkan rejim zionis di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Serangan rejim zionis yang turut memusnahkan kebanyakan masjid menyebabkan bumi Gaza, Palestin kini sepi tanpa kedengaran laungan azan sehingga menyukarkan penduduk mengetahui waktu solat.

Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Cawangan Gaza, Dr Ziad Shehada berkata, kemusnahan besar di Gaza menyebabkan kehidupan penduduk berubah terutama dalam rutin menunaikan solat.

"Disebabkan banyak masjid musnah, penduduk tak dapat dengar azan lagi menyebabkan kami tak tahu bila waktu sebenar solat apatah lagi sukar caj bateri telefon bimbit jadi kami main agak-agak saja bila nak solat.

"Penduduk juga sukar mendapatkan air untuk berwuduk, jadi kami tayamum menggunakan pasir, dinding atau lantai. Perang ini juga membuatkan penduduk sukar mendapatkan al-Quran untuk mengaji kerana kebanyakan masjid musnah tidak dapat dimasuki lagi atau tiada apa yang tinggal," katanya berkongsi perkembangan terkini di Gaza.

Kini katanya, musim sejuk mula melanda Gaza memburukkan lagi keadaan terutama penduduk yang tiada tempat tinggal, pakaian dan selimut.

"Penduduk terpaksa buka tingkap dan pintu rumah kerana jika ada serangan, mudah untuk kami keluar kalau tak, kami akan terperangkap di dalam rumah.

"Musim sejuk mula melanda Gaza dan hujan lebat terutama waktu malam menyebabkan penduduk tidak dapat tidur akibat tempias hujan dan angin kuat masuk dalam rumah kerana kebanyakan orang tiada selimut," katanya.

Menurutnya, kebuluran juga sedang melanda Gaza kerana penduduk tidak berkemampuan apatah lagi kebanyakan harga barangan keperluan termasuk makanan asas naik mendadak selepas bekalan di pasaran kurang dan terhad.

"Kalau ada duit pun tak boleh beli apa-apa atau dapat beli pun cuma sedikit saja sebab harga barang semakin mahal. Jadi, kami biasanya kami akan pergi ke sekolah dan masak makanan menggunakan kayu api untuk diagihkan kepada 200 keluarga.

"Pasukan kami sendiri menghadapi kesukaran sebab tak ada petrol untuk bergerak dengan kereta jadi kami berjalan kaki dalam keadaan cuaca sangat sejuk dari satu kawasan ke kawasan bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk memerlukan," katanya.

Ziad berkata, pasukan MyCARE bergerak menyampaikan bantuan ke bahagian selatan Gaza selepas kawasan utara tidak selamat lagi akibat pencerobohan Israel.

"Kami berpindah ke selatan untuk memulakan projek bantuan baharu selain turut mengadakan perbincangan dengan sebuah hospital di tengah Gaza untuk membantu apa yang patut.

"Kami harap semua sokong kami bukan hanya doa kerana sumbangan juga amat diperlukan kerana banyak projek kami sedang atur untuk membantu meringankan penderitaan penduduk Gaza," katanya.

Justeru katanya, gencatan senjata amat penting bagi membolehkan penduduk bernafas sedikit bagi mendapatkan barangan keperluan dan rawatan sewajarnya.

Setakat petang semalam, statistik Pejabat Media Kerajaan di Gaza merekodkan, angka korban di wilayah itu terus meningkat kepada 14,532 orang dengan lebih 35,000 cedera.

Konflik itu turut memusnahkan 233,000 unit kediaman, 266 sekolah, 85 masjid serta tiga gereja.

Semalam, kerajaan Israel dan pejuang Hamas mencapai kata sepakat untuk gencatan senjata kemanusiaan di wilayah itu selama empat hari.

Sebagai pertukaran, 50 tebusan kanak-kanak, ibu dan wanita warga emas yang ditahan Hamas akan dibebaskan mulai hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 3:38 PM