ABDUR Rahman dan adiknya, Abdullah (kiri). FOTO Abdur Rahman Amir Ruddin
ABDUR Rahman dan adiknya, Abdullah (kiri). FOTO Abdur Rahman Amir Ruddin
Noor Hidayah Tanzizi


Muar: "Semangat Dollah (Abdullah) memang kuat daripada keadaannya dikatakan hanya 50-50, kemudian terlantar lebih sebulan dan guna kerusi roda tiga hingga empat hari.

"Selepas itu Dollah boleh berjalan semula dalam masa sehari serta hari kedua sudah boleh mengayuh basikal dan semua itu sangat memberi motivasi pada saya untuk kuat meneruskan kehidupan kami bersama," kata Abdur Rahman Amir Ruddin.

Abdur Rahman, 19, adalah anak kepada Noorahimah Noor Muhamad, 43, dan Amir Ruddin Ismail, 46, yang meninggal dunia dalam kemalangan yang turut mengorbankan empat beradiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, serta Muhammad Assyakrawi, 5.

Seorang lagi adiknya, Abdullah adalah satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan itu.

Berkongsi mengenai perkembangan adiknya, Abdur Rahman berkata, Abdullah menunjukkan keadaan kesihatan yang baik, namun mengakui personaliti adik berubah daripada seorang yang agak pendiam kepada banyak bercakap dan ceria.

Bagaimanapun katanya, adiknya kini masih perlu memakai lampin pakai buang tetapi sudah boleh menguruskan diri sendiri dengan pemantauan mereka.

"Alhamdulillah, keadaan Dollah semakin baik cuma ingatan dia sekejap ingat sekejap tidak. Dollah juga seperti kanak-kanak dan banyak bercakap berbanding sebelum kemalangan yang agak pendiam serta hanya menjawab sepatah-sepatah saja.

"Sebagai abang, saya layan saja Dollah dan bersyukur dengan perkembangan dia yang baik serta ini sokongan ramai pihak terutama keluarga kami," katanya yang kini menetap di Parit Jawa, di sini, ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, kehilangan ibu bapa dan adik-beradik tersayang dua bulan lalu sangat perit, namun mereka tetap kuat menjalani kehidupan bersama keluarga ibu bapa mereka yang sentiasa berada di sisi dan membantu dalam kehidupan harian.

"Setiap hari kami ingat pada insan tersayang dan rindu itu tidak pernah hilang tetapi saya reda mereka pergi dahulu. Dollah juga merindui mereka dan apabila melihat gambar serta video arwah, dia akan menangis dan selepas itu lupa.

"Apabila teringat dia akan tanya 'mana ibu dan abi' dan saya akan beritahu 'ibu dan ibu tidur dalam syurga' sebelum dia cakap 'oh lupa pula'. Kadang-kadang Dollah juga terbayang ibu dan abi," katanya memberitahu adiknya juga sudah boleh makan seperti biasa cuma dalam kuantiti sedikit.

Menurut Abdur Rahman, dia kini kuat menjalani kehidupan tanpa insan tersayang kerana masih mempunyai keluarga lain terutama adiknya, Abdullah dan mengakui itu juga menjadi pembakar semangatnya untuk menghabiskan pengajian.

Katanya, dia kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Sekolah Rendah di Open University Malaysia (OUM) secara jarak jauh.

"Ketika ini kami memang bergantung dengan keluarga selain pencen ibu dan abi. Ketika ini kelas saya setiap Sabtu secara dalam talian dan saya mahu belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan lebih cerah nanti.

"Saya juga sangat berterima kasih dengan semua sokongan dan doa daripada orang ramai untuk kami berdua dan arwah ibu bapa serta adik-beradik kami sehingga kini.

"Sehingga kini juga masih ada yang datang menziarah kami hampir setiap hari cuma saya berharap dapat diberikan masa untuk menyelesaikan beberapa urusan," katanya.

Terdahulu media melaporkan, tragedi menyayat hati itu berlaku ketika mereka sekeluarga kecuali Abdur Rahman dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar Noorahimah yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak.

Perodua Alza dinaiki mereka dirempuh lori muatan pasir menyebabkan lima daripada mereka meninggal di tempat kejadian manakala Fatimah meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Segamat dan Abdullah cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 8:02 PM