Noor Hidayah Tanzizi


Kajang: "Semalam sebelum solat Asar (waktu Malaysia) berlaku serangan roket di sebuah dewan yang beberapa meter dari rumah kami (di Gaza).

"(Bagaimanapun) isteri serta tujuh anak selamat dan mereka sudah berpindah ke tempat selamat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Beliau yang juga Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders dan satu-satunya rakyat Malaysia di Palestin berkongsi perkembangan keluarganya di negara berkenaan.

Menurutnya, dia kini berada di tanah air sejak tiga minggu lalu dan akan berada di sini dalam satu tempoh atas urusan kerja.

"Kali terakhir saya menghubungi keluarga malam semalam dan mereka baru mahu keluar rumah untuk berpindah ke tempat selamat (selepas kejadian serangan roket).

"Setakat jam 3 petang (waktu Gaza) mereka masih selamat dan ada (hidup)," katanya ketika ditemui pada pelancaran Time4Intifada: MyAqsa Defenders Lancar Gelombang Mega #IsraelCuak di sini, hari ini.

Katanya, keluarganya masih kekal bersemangat dan tidak gentar biarpun berhadapan situasi getir ketika ini.

"Keluarga sentiasa dalam keadaan bersiap sedia (setiap masa) untuk menyelamatkan diri mereka," katanya.

MUHAMMAD Nadir Al-Nuri menunjukkan gambar keluarganya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MUHAMMAD Nadir Al-Nuri menunjukkan gambar keluarganya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:04 PM