Raja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menstruktur semula jumlah keanggotaan dalam setiap pasukan berdasarkan keperluan dan cabaran tugas semasa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, penyelarasan itu membabitkan beberapa jabatan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang memerlukan penambahan anggota disebabkan oleh kewujudan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Beliau berkata, pasukan yang akan dikurangkan keanggotaan pula membabitkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, ketika ini PDRM mempunyai kekuatan 130,000 pegawai dan anggota dengan jumlah itu mencapai standard piawaian antarabangsa iaitu seorang anggota kepada 250 orang awam.

"Memang kita ada buat permohonan untuk menambah anggota namun buat masa sekarang, adalah lebih mustahak kita 'redeploy' pasukan mengikut keperluan masing-masing.

"Jika dilihat JSJK sebelum ini adalah antara pasukan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kini JSJK mempunyai kurang daripada 3,000 pegawai dan anggota.

"Bagaimanapun, kes penipuan yang membabitkan teknologi AI dan di media sosial sekarang ini didapati terlampau banyak. Yang ini kita akan 'redeploy' untuk kita tambah pegawai dan anggota di JSJK," katanya.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (Media Prima) di Bilik Mesyuarat Ketua Polis Negara, Menara 1 Bukit Aman, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, JSJK memerlukan jumlah keanggotaan mencukupi bagi mempercepatkan siasatan kes dan memudahkan urusan dengan pelbagai agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak bank.

Mengenai pasukan yang dikecilkan jumlah anggota, kata beliau, bukan bermakna pasukan terbabit tidak diperlukan sebaliknya mereka mempunyai kelengkapan dan aset yang cukup untuk memperkukuhkan pasukan.

"PGA ni kalau satu platon mempunyai kira-kira 36 anggota dan sudah mempunyai peralatan canggih, jadi tak perlu ramai lagi. Ini yang kita akan 'redeploy'.

"Begitu juga JPJKK, kita tidak bubar. Apa dah ada (pasukan) yang baik, kita kekalkan cuma kita 'redeploy'," katanya.

Berita berkaitan:

Gabungan Razarudin, Ayob kembalikan imej PDRM

Kerap lawat lokap, elak kejadian buruk

Kadar Jenayah Indeks turun 40 peratus

RAZARUDIN di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
RAZARUDIN di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 5:55 PM
RAZARUDIN (kanan) bersama Syed Hussian (dua kanan), Mohd Efendi (dua kiri) dan Ahmad Zaini (kiri) ketika lawatan kunjungan hormat Media Prima Berhad di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
RAZARUDIN (kanan) bersama Syed Hussian (dua kanan), Mohd Efendi (dua kiri) dan Ahmad Zaini (kiri) ketika lawatan kunjungan hormat Media Prima Berhad di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad