HARIZ enggan bercinta walaupun sudah empat tahun solo.
HARIZ enggan bercinta walaupun sudah empat tahun solo.
Najiy Jefri


BIARPUN memiliki rupa paras tampan dan menawan, pelakon Hariz Hamdan belum terfikir untuk mencari teman wanita selepas melalui episod putus cinta empat tahun lalu.

Mengakui kehidupan sebagai lelaki solo ada kalanya menerbitkan rasa sunyi selain ingin kembali mencipta kebahagiaan dalam percintaan, namun jejaka berusia 21 tahun ini sedar dia memiliki tanggungjawab dan amanah besar untuk dipikul.

Enggan nama yang dibina sebagai pelakon hancur dan musnah, Hariz nekad mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya seni yang masih baru ini.

"Saya sudah empat tahun solo. Dah lama tak terima panggilan setiap malam, pergi 'berdating' atau menyayangi seseorang. Jadi, kadangkala datang rasa rindu nak kembali bercinta dan mempunyai teman wanita.

"Tapi, saya sedar ini bukan waktu terbaik. Lagipun saya masih muda dan belum bersedia ke arah itu.

"Saya takut kalau bercinta nanti fokus saya terhadap kerjaya seni terjejas. Cuma tipu kalau tidak berfikir soal peneman, tapi bukan sekarang," katanya.

Tambah Hariz, seandainya dia terbuka hati untuk bercinta dia seboleh mungkin enggan pasangannya itu dalam kalangan selebriti.

"Kalau boleh saya tak nak kenal atau bercinta dengan wanita dalam kalangan industri seni. Bukan benci atau tak suka, tapi saya lebih gemar wanita yang biasa saja.

"Saya ingin mengenali wanita yang merendah diri dan orang luar tidak mengenalinya. Walaupun ada saja selebriti yang bercinta dalam kalangan mereka, tapi itu hak dan pilihan mereka," katanya.

Tangguh pengajian

Siapa sangka di usia 18 tahun Hariz sudah diberi peluang menyertai program Hero Remaja dan berjaya memperkenalkan dirinya dalam industri hiburan.

Selepas tiga tahun dalam dunia seni, Hariz mengaku dirinya belum berpeluang menyambung pengajian di peringkat universiti.

Menyedari perkara itu, Hariz menjelaskan dia pernah menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Johor dalam jurusan matematik, namun terpaksa menangguhkan buat sementara waktu.

"Saya masuk dalam dunia seni seawal usia 18 tahun. Ketika saya melanjutkan pelajaran di UiTM Segamat, saya juga ketika itu aktif menerima tawaran berlakon menyebabkan saya terpaksa tangguhkan sekejap.

"Perancangan untuk menyambung pengajian itu ada, tapi bukan sekarang memandangkan kerjaya saya baru nak naik dan enggan sia-siakan peluang ini begitu saja," katanya.

Dalam masa sama, Hariz meluahkan rasa syukur apabila perjalanannya dalam bidang seni dipermudahkan dan tidak menyangka minat terhadap dunia lakonan semakin bercambah.

"Sepanjang tiga tahun ini banyak perkara yang mengubah saya seperti cara saya berfikir sekarang. Kalau dulu saya masih mentah dan tidak fikir panjang, tapi sekarang ini saya mula tahu apa yang ingin saya capai dalam hidup.

"Dulu masuk Hero Remaja bukan nak jadi pelakon pun, tapi disebabkan menerima banyak tawaran sebagai pelakon saya cuba buktikan dan lama-kelamaan minat itu semakin kuat dan saya sudah mula jatuh cinta," katanya.

Bintangi siri Xchange

Ditanya mengenai perkembangan kerjaya seni, Hariz begitu teruja berkongsi pengalamannya membintangi watak Kabil dalam siri Original Astro berjudul Xchange.

Bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor buat julung kalinya, Hariz mengaku banyak menimba ilmu daripada Hero Malaya itu.

"Ketika awal penggambaran saya gerun untuk bergandingan dengan Rosyam kerana beliau adalah figura yang cukup disegani ramai.

"Tapi, saya cuba mencipta keserasian dengan mengajaknya berbual dan minta tunjuk ajar kerana saya memegang watak sebagai anaknya dalam karya itu.

"Beliau banyak bagi tips dan tidak membiarkan saya berlatih seorang diri. Sebelum penggambaran bermula kami berlatih bersama-sama dan beliau beri tunjuk ajar mengenai teknik lakonan yang perlu saya berikan pada karakter ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 6:00 AM