Nor Amalina Alias

Kota Bharu: "Abah kerap menyebut mahu ke Pantai Irama dan beritahu ramai kawannya sudah menunggu," kata Muhamad Saiful anak kepada Allahyarham Mustapa Isa, 62, yang lemas ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) selepas terjatuh ke laut di Pantai Irama, di sini, semalam.

Muhamad Saiful, 30, berkata, dia berasa tidak sedap hati apabila menerima gambar swafoto bapanya yang dihantar ke kumpulan WhatsApp keluarga sebelum mangsa membuat penerbangan jam 6.15 petang.

Katanya, arwah sebelum ini takut melakukan aktiviti lasak menyebabkan dia segera menghubungi bapanya.

"Saya hanya sempat berkata 'Hello, abah' sebelum disambut arwah dengan memberitahu 'nanti abah call (hubungi) meta (sekejap lagi)' sebelum menamatkan panggilan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seribong, di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga mempunyai hubungan baik dengan pengendali aktiviti luncur udara itu, Mat Jusoh Mamat, 77, atau Pok Soh yang juga rakan sekampung bapanya.

"Saya pernah main sukan luncur udara lebih 10 tahun sebelum bekerja tetap, mengikut makluman Pok Soh, mereka bukan mengalami kerosakan enjin sebalik mahu membuat pendaratan namun ramai orang.

"Kami mempunyai hubungan baik dengan Pok Soh, dia berpengalaman luas sebagai pengendali paramotor, ada lesen dan kami anggap sudah ajal arwah abah," katanya.

ROSNAH menunjukkan gambar 'selfie' terakhir arwah suaminya yang sempat dihantar ke kumpulan WhatsApp keluarga sebelum lemas. FOTO Nor Amalina Alias
ROSNAH menunjukkan gambar 'selfie' terakhir arwah suaminya yang sempat dihantar ke kumpulan WhatsApp keluarga sebelum lemas. FOTO Nor Amalina Alias

Isteri mangsa, Rosnah Hassan, 58, menganggap sikap arwah yang beria-ria mahu melakukan aktiviti luncur udara sebagai permintaan terakhirnya.

"Beberapa hari sebelum kejadian arwah kerap mengajak ke Pantai Irama," katanya.

Katanya, suaminya memaklumkan, dia mahu minum dan bersiar-siar di pantai itu.

"Sampailah dia beritahu nak naik luncur udara dengan Pok Soh sebelum saya terima berita kejadian lemas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa yang dibawa naik Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, petang semalam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seribong jam 11 pagi tadi.

Terdahulu, warga emas itu maut manakala rakan sekampungnya selamat ketika membuat aktiviti luncur udara di Pantai Irama jam 6.50 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 3:22 PM