ROSYAM Nor sentiasa positif, sedia terima tawaran watak aksi jika diberi peluang.
ROSYAM Nor sentiasa positif, sedia terima tawaran watak aksi jika diberi peluang.
Georgie Joseph


KUDRAT seni yang masih menebal dalam diri Datuk Rosyam Nor jelas belum ada tanda-tanda ingin pudar. Pada usia 56 tahun, dia masih ligat menabur bakti dalam industri hiburan.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin menetapkan pemikiran positif menjadi nadi penting semangatnya.

Helahnya adalah dia enggan mengaku dirinya tua.

Menurutnya, pemikiran itu jugalah yang ingin diubah dalam kalangan orang industri hiburan. Tidak pernah ada istilah tua untuk watak hero dalam sesebuah cerita dan pendekatan itu sendiri memang biasa jika di luar negara.

Justeru, dia takkan pernah mengehadkan batas kemampuannya dalam lakonan. Kalau diberikan watak hero filem aksi sekalipun, Rosyam memang mahu lakukannya pada usia begini.

"Tak ada hero tua. Kalau dia hero, herolah! Orang yang tidak pandai saja melabelkan dia hero tua. Kalau berlakon dalam filem misalnya, dia tetap hero. Tak kisahlah umurnya berapa.

"Saya kalau diberi peluang menjayakan watak aksi, saya masih nak lagi. Kenapa filem-filem luar masih lagi boleh jual kan? Saya ada peminat dan penyokong saya," katanya.

Rosyam juga merasakan sendiri tawaran menjadi teraju utama yang diberikan kepadanya semakin berkurangan. Padahal, banyak saja watak utama yang boleh dicipta dan menjadi fenomena.

Ironinya, kedudukan Rosyam juga sangat disanjungi selepas pencapaian demi pencapaian luar biasa diraih sepanjang menjadi anak seni. Jadi, dia agak keliru dengan aspek tawaran sekarang.

"Sampai hari ini orang gelar saya hero Malaya, hero nombor satu Malaysia. Tapi, peluang untuk saya pegang watak utama tak dapat lagi macam dulu.

"Sebenarnya saya boleh bagi apa yang mereka nak. Itu keyakinan saya. Tapi untuk menjualnya, mereka kenalah pandai ganding-gandingkan," katanya.

Bagai bulan jatuh ke riba, impian Rosyam kembali jadi teraju utama siri akhirnya datang juga menerusi Jack Yusof arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin.

Rosyam berkata, tawaran itu besar maknanya, Selama ini dia sentiasa mencari naskhah yang nampak ringan, tapi konsepnya kukuh.

Katanya, itulah yang menjadi sebab dia memilih karya komedi bukan klise terbabit.

"Jack Yusof ini membuka mata orang. Sebab itu saya menyeru semua tolong hebahkan mengenainya. Bukan sebab drama itu tak bagus tapi kita sudah nampak kualitinya, bukan?

"Sangat santai dan tak huru-hara. Kalau orang tak tergelak pun, sekurang-kurangnya tersenyum dengan karakter dan jalan ceritanya kan. Itulah komedi, komedi bukan semestinya sampai kita terbahak-bahak.

BERSYUKUR dapat terajui naskhah Jack Yusof. - FOTO Hazreen Mohamad
BERSYUKUR dapat terajui naskhah Jack Yusof. - FOTO Hazreen Mohamad

"Komedi yang buat orang tersengih pun sudah cukup. Kita memberi penonton kebahagiaan dan pengajaran di sebalik drama itu," katanya.

Rosyam juga sebenarnya sempat mengutarakan kebimbangan mengenai persepsi rakan industri terhadapnya. Terutama perihal kesudian mengambilnya berlakon.

Memang dia sendiri ada prinsip teguh dalam memastikan setiap tugasan seni dikerjakan dapat hasil kualiti terbaik. Akan tetapi, katanya dia sendiri ada ketakutan bila mana bekerja dengan karyawan lain juga.

"Saya buat kerja memang serius. Tapi bukannya di set (penggambaran) saya garang. Tak, saya sebenarnya lagi teruk gila daripada mereka.

"Mungkin mereka tengok pencapaian saya membuatkan mereka tertanya sama ada sedia atau tidak berlakon dengan saya? Sebenarnya saya sendiri pun takut sedia tak saya berlakon dengan mereka?

"Bila ada ketakutan sama begitu, hasilnya jadi bagus," katanya.

JAGA RAPI KETERAMPILAN DEMI IMEJ MENARIK

Rosyam juga sentiasa membayangkan dia adalah produk yang perlu dijual dengan sebaiknya. Untuk berbuat demikian, keterampilan menjadi amanah besar untuknya titik beratkan.

Katanya, walaupun pada usia sekarang tidak menghalangnya cuba 'berhias'.

Rosyam juga memiliki pendekatan tersendiri untuk memastikan dia sentiasa memiliki kesihatan dan tenaga seperti orang muda.

"Sebenarnya saya selalu ingat umur saya 25 tahun. Itu sebenarnya motivasi sendiri saja dan juga menjaga pemakanan. Saya guna produk durian belanda yang ditanam di ladang saya.

"Ini kerana durian belanda mengandungi anti oksida yang tinggi untuk sel-sel dalam badan kita. Bila sel-sel badan kita sihat, kita nampak sihat dan muda sedikitlah," katanya.

Rosyam juga mengakui usaha sebegitu mampu membuatkan ramai peminat baharu cuba mengambil tahu mengenainya.

"Kerana peminat lama saya yang dulu 20-an kini sudah 50-an. Saya perlukan peminat baharu. Mereka itulah 'pembeli' baharu. Jadi, saya cuba tampil segak sebolehnya meskipun bukanlah tampan sangat, tapi saya cuba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 6:01 AM