LOKASI konsert pilihan Faizal Tahir  kerana anggap ia satu ‘jiwa’  selain banyak kenangan. Foto Rohanis Shukri
LOKASI konsert pilihan Faizal Tahir kerana anggap ia satu ‘jiwa’ selain banyak kenangan. Foto Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


SEBUT saja nama Faizal Tahir, 45, tentunya setiap daripada kita akan membayangkan suara lunak serta lagu-lagu hebat hasil ciptaannya.

Menginjak usia karier 17 tahun, Faizal kini bakal hadir dengan konsert berskala besar pertamanya, Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 2 September nanti.

Berkesempatan bertemu dan menemubual penyanyi yang pernah mendapat jolokan 'Superman' ini, Faizal berkongsi bagaimana si 'hati batu' ini akhirnya cair dan akur untuk mengadakan konsert tunggal ini.

"Sebelum bersetuju untuk mengadakan konsert ini, bertahun-tahun saya dipujuk sehinggalah baru-baru ini saya membuat keputusan untuk terima lamaran daripada penganjur ini.

"Pada masa sama juga, saya rasa sudah tiba masanya terutama selepas fasa pandemik selama beberapa tahun sebelum ini," katanya.

Ditanya mengenai perancangan awal sebelum merealisasikan konsert ini, Faizal berkata, ia sudah bermula sejak sebelum industri seni terhenti akibat pandemik Covid-19 lagi.

"Perancangan sebenarnya sudah bermula sejak sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi. Dalam tempoh itu, saya melalui satu proses antaranya kehilangan sahabat baik dan saya pernah hampir putus asa dengan industri muzik.

"Setiap kali saya keluarkan lagu atau material baharu, akan ada ramai yang menitipkan komen dan meminta untuk saya adakan konsert. Apabila ada permintaan, tandanya masih ada orang yang nak mendengar saya menyanyi.

"Jadi, ini adalah cara untuk saya 'memberi balik' kepada peminat-peminat yang sentiasa menyokong karier saya sepanjang tempoh 17 tahun berada di dalam industri ini," katanya.

FAIZAL Tahir bakal hadir dengan Konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur. Foto Rohanis Shukri
FAIZAL Tahir bakal hadir dengan Konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur. Foto Rohanis Shukri

Bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Faizal berkongsi sedikit rasa mengenai lokasi bersejarah itu.

"Pemilihan WTC sebagai lokasi konsert adalah kerana ia tempat yang bagus. Lokasi ini ada satu 'jiwa' buat saya. Selain menyimpan kenangan sepanjang karier saya, ada kelebihan dari sudut teknikal juga.

"Bunyi akustik yang dihasilkan daripada persembahan di dalam WTC sangat dekat dengan hati saya. Ia antara lokasi yang mana, kita masih boleh 'kawal' bunyinya.

"Dengan jumlah kapasiti tempat duduk 2,900, saya rasa ia sangat cocok, tak terlalu banyak dan tak terlalu sikit. Kalau lokasi yang terlalu besar sangat pun, saya tak pasti kami dapat penuhkan," katanya.

Ditanya mengenai segmen dan lagu-lagu yang akan dipersembahkan, Faizal berkata, dia akan menterjemahkan kisah kelangsungan karier 17 tahunnya dalam lima segmen.

"Untuk konsert itu, akan ada lima segmen. Jadi, saya rasa semua segmen ini adalah sesuai untuk saya terjemahkan perjalanan 17 tahun saya dari mula sehingga ke hari ini.

"Jumlah lagu yang akan disampaikan pula lebih kurang 23 lagu. Namun, tidak semuanya akan dinyanyikan secara penuh kerana saya akan gabungkan dalam bentuk medley," katanya.

Menekankan tenaga dan stamina sebagai keutamanaan, Faizal inginkan satu persembahan konsert yang akan turut meninggalkan kesan buat cahaya matanya selain peminat.

"Saya pun dah tak macam dulu (sewaktu zaman muda). Tenaga juga menjadi antara faktor kenapa saya berfikir lama untuk mengadakan konsert. Dalam umur ini, saya kena sentiasa ingatkan diri saya bahawa saya ada isteri dan anak-anak.

"Kalau boleh, saya nak berikan persembahan yang mana, anak-anak saya pun boleh berseronok sama. Saya letakkan stamina sebagai keutamaan untuk konsert ini kerana saya adalah penyanyi studio.

"Jadi, saya kena ambil serius mengenai kecergasan untuk memastikan persembahan saya nanti, di tahap terbaik," katanya.

Terbaharu, Faizal juga kini hadir dengan lagu Sampai Syurga yang dirakamkan semula dan diberi nafas baharu.

"Sampai Syurga adalah satu karya yang ikonik buat saya secara peribadi dan juga menjadi pilihan pihak pengurusan saya untuk dirakamkan semula. Ia adalah lagu pertama yang melayakkan saya tampil di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Sekarang, tiba masanya untuk saya bawa semula dan sekarang, saya ada peluang untuk hasilkan ia semula secara lebih tersusun.

"Sebenarnya, maksud tersirat dalam Sampai Syurga adalah berkait rapat antara kehidupan manusia dengan Tuhan. Ia ada kaitan dengan ayat-ayat dalam al-Quran juga.

"Jadi, saya akan kupas dan berikan penerangan di konsert nanti. Insya-Allah, akan ada lagu baharu juga ditamp

ilkan di konsert nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 7:00 AM