ROZAIMI (kiri) akan ambil tindakan undang-undang terhadap Norizam. FOTO ARKIB NSTP DAN KELANTAN FC
ROZAIMI (kiri) akan ambil tindakan undang-undang terhadap Norizam. FOTO ARKIB NSTP DAN KELANTAN FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bakal berdepan satu lagi kes di mahkamah apabila bekas pemainnya, Rozaimi Rahamat mengesahkan sudah mengambil tindakan undang-undang.

Menurut Rozaimi, langkah itu diambil bagi membersihkan maruahnya yang tercalar susulan tuduhan fitnah Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham terhadapnya.

Katanya, dalam satu majlis bersama penyokong dan Norizam bulan lalu, bekas majikannya itu menjawab soalan daripada penyokong mengenai isu dirinya bersama Norizam berkaitan tunggakan gaji.

Jelasnya, Norizam berkata, beliau menghalau Rozaimi daripada menaiki pesawat ke Sabah kerana mendakwa dirinya mahu memboikot perlawanan itu jika tidak dapat gaji penuh.

"Beliau (Norizam) kata saya nak boikot perlawanan, itu fitnah dan ia menjatuhkan maruah saya. Kalau saya nak boikot buat apa saya pergi ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

"Bila dah ada sana, saya dihalau supaya balik hanya disebabkan saya minta gaji tertunggak daripada beliau. Sebelum ini pun, gaji memang dah tertunggak dari Januari lagi, tapi saya tak pernah boikot pun dan tetap bermain seperti biasa.

"Cuma sebelum terbang ke Sabah, saya minta gaji tertunggak dan kalau beliau lambat bayar pun saya tetap akan bermain untuk pasukan. Disebabkan tuduhan fitnah itu, maruah saya tercalar.

"Cuba bayangkan, sekarang ini pasukan lain sudah ada pandangan negatif kepada saya sebab boikot perlawanan dengan Kelantan, padahal saya tak buat macam itu pun.

"Saya ada bagi tempoh selama seminggu kepada beliau untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. Tapi selepas tamat tempoh hingga Ahad lalu, saya terus jumpa peguam untuk ambil tindakan mahkamah bagi membersihkan nama saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, tular di laman sosial satu video perbualan telefon antara Norizam dan Rozaimi yang menyaksikan pemilik TRW itu memaki hamun penjaga gol itu dan tidak membenarkan menyertai pasukan ke Sabah.

Dalam perbualan itu, Rozaimi meminta tunggakan gaji, namun hanya dibayar RM1,000 sahaja iaitu wang pendahuluan oleh Norizam.

Dalam perkembangan sama, Rozaimi mengakui dia sudah menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dan TRW sudah menjelaskan kesemua tunggakan gaji.

Begitupun, Kelantan FC masih gagal menjelaskan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Saya ada semak, untuk bulan Ambil KWSP bayar separuh saja. Untuk bulan Januari hingga Mac belum lagi bayar.

"Saya akan tuntut nanti, tapi fokus sekarang nak bersihkan maruah saya. Sebab fitnah beliau itu menjejaskan nama dan rezeki saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:07 PM