MOHD Afiq bersama isteri dan anak. FOTO Ihsan Mohd Afiq Fikri Firdaus Ibrahim
MOHD Afiq bersama isteri dan anak. FOTO Ihsan Mohd Afiq Fikri Firdaus Ibrahim
Nazdy Harun

Kuala Terengganu: "Saya anggap kehidupan ini adalah anugerah istimewa kerana dihadiahkan Allah SWT kepada saya sekeluarga berikutan saya, isteri dan dua anak semuanya kerdil," kata Mohd Afiq Fikri Firdaus Ibrahim dari Kampung Losong Masjid, dekat sini.

Menurut Mohd Afiq, 38, jodoh bersama isteri, Farihah Abd Ghani, 38, yang bekerja sebagai kakitangan awam dilihat satu aturan yang sudah ditetapkan Yang Maha Esa dalam kehidupannya.

Katanya, selain isteri yang sama dikategori orang kurang upaya (OKU) kerdil, dua anaknya, Aufa Fakhriya, 8, dan Muhammad Arfan, 13, turut dikategori yang sama berikutan tahap tumbesaran tidak seperti insan normal.

"Walaupun fizikal kami tidak seperti orang lain, namun alhamdulillah buat masa ini Allah SWT memberikan kesihatan yang baik kepada kami sekeluarga yang juga adalah satu anugerah dan nikmat daripadanya.

"Tidak dinafikan kehidupan sebagai OKU fizikal ini tidak terlepas daripada cemuhan, ejekan dan persepsi masyarakat, namun dalam menanganinya mental perlu kuat.

"Kehidupan ini boleh dikatakan 'keras' untuk melaluinya perlu kecekalan dan ketabahan ditambah pula saya sekeluarga dikategori sebagai OKU," katanya yang juga bekas atlet bola sepak paralimpik negara.

MOHD Afiq bersama anak bongsu, Aufa Fakhriya. FOTO Nazdy Harun
MOHD Afiq bersama anak bongsu, Aufa Fakhriya. FOTO Nazdy Harun

Dia yang berasal dari Bachok, Kelantan berkata, dirinya sudah lali dengan ejekan, namun dia tidak mengambil sikap mengabaikan kata-kata ejekan itu kerana baginya tiada yang sempurna melainkan Allah SWT.

Katanya, sejak kecil dia didedahkan dengan pergaulan bermasyarakat membuatkannya tidak kekok untuk berkawan dan bekerja dan konsep itu diterapkan kepada anak-anak.

Mohd Afiq berkata, ibu bapa yang mempunyai anak OKU sebolehnya tidak mengongkong anak mereka sebaliknya perlu memberi ruang kepada anak atau ahli keluarga untuk bergaul bersama masyarakat.

"Secara tidak langsung, anak atau ahli keluarga akan mudah menyesuaikan diri dalam masyarakat dan tidak berasakan diri mereka tersisih.

"Justeru, bagi saya yang memiliki keluarga istimewa ini sentiasa perlu berfikiran positif terutama apabila keluar beriadah bersama keluarga kerana tidak akan terlepas daripada 'jelingan' umum," katanya.

AUFA Fakhriya turut dikategori yang sama berikutan tahap tumbesaran tidak seperti insan normal. FOTO Nazdy Harun
AUFA Fakhriya turut dikategori yang sama berikutan tahap tumbesaran tidak seperti insan normal. FOTO Nazdy Harun

Menceritakan kehidupannya, Mohd Afiq berkata, dia menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual peralatan memancing di lokasi pertandingan memancing di sekitar negeri ini.

Katanya, isterinya pula bertugas sebagai penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan manakala anak sulungnya kini menuntut di sebuah mahad tahfiz di daerah ini dan anak bongsunya kini bersekolah di tahun dua.

Menurutnya, kerdil hanya pada fizikal dan jangan jadikan alasan kekurangan ini untuk kita malu berhadapan dengan masyarakat sedangkan Allah SWT masih memberikan kita akal fikiran yang waras.

"Kalau kami berempat duduk, paras ketinggian kami hampir sama dan ini membuatkan kami sering dilihat orang ramai apabila kami keluar bersama.

"Saya menerima takdir Allah SWT ini dengan penuh kesyukuran kerana setiap manusia mempunyai jalan hidup dan ujian berbeza-beza justeru sekiranya melihat insan-insan OKU diharap janganlah diejek atau dihina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 7:00 AM