MUHAMMAD Hawari Hashim. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Hawari Hashim. FOTO arkib NSTP
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang berjaya menawan puncak Everest kelmarin dilaporkan hilang semalam.

Berita kehilangan Hawari dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) hari ini.

Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, Hawari dilaporkan hilang pagi semalam selepas turun dan berehat di kem empat selepas berjaya menawan puncak Everest pada 8,848 meter dari paras laut.

Katanya, usaha pencarian sedang giat dijalankan termasuk menyampaikan maklumat kehilangan Hawari ke semua kem.

Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung dan rakan pendaki ME2023.

Hawari berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Muzium Pulau Pinang.

Terdahulu, seorang pendaki ME 2023 yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar, 56, meninggal dunia semalam ketika dalam misi menawan puncak Everest. Awang Askandar yang dilaporkan berhadapan masalah kesihatan selepas tidak dapat meneruskan misi menawan Everest ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut.

Awang Askandar meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 2:20 PM