MOHD Khairul Anuar bersama papan cabutan bertuah duit raya yang disediakan sempena Aidilfitri tahun ini. FOTO Ihsan Mohd Khairul Anuar.
MOHD Khairul Anuar bersama papan cabutan bertuah duit raya yang disediakan sempena Aidilfitri tahun ini. FOTO Ihsan Mohd Khairul Anuar.
Noor Hidayah Tanzizi


Kota Bharu: Mahu mencipta suasana kemeriahan Aidilfitri sambil berkongsi rezeki bersama keluarga tersayang, mendorong eksekutif kewangan ini menganjurkan cabutan bertuah duit raya.

Inisiatif itu dilakukan Mohd Khairul Anuar Mah Hassan, 34, sejak 2013 untuk menggembirakan keluarga yang teruja menanti 'acara' tahunan itu dengan memperuntukkan RM1,400 tahun ini.

Mohd Khairul Anuar juga berkongsi video cabutan bertuah itu di TikTok dan turut mendapat perhatian ramai yang memuji usahanya menceriakan Aidilfitri dengan cara unik sambil berkongsi rezeki.

Menurutnya, cabutan bertuah itu adalah sesi bonus kerana dia tetap memberi duit raya yang disediakan dalam sampul untuk keluarganya setiap tahun.

"Tahun ini saya menyediakan RM5, RM20, RM10, RM50 dan RM100 dan mereka akan 'mencabut' kertas untuk melihat berapa mereka dapat.

"Setiap tahun orang berbeza yang akan bertuah seperti ibu saya tahun lalu dia dapat RM3 dan kali ini dapat RM100," katanya pulang ke kampung halaman di Melor, di sini, ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khairul Anuar berkata, tahun ini seramai 52 ahli keluarganya membuat cabutan membabitkan ibu, nenek, adik beradik, anak saudara, ipar dan ibu saudaranya.

Katanya, setiap bulan dia akan membuat persiapan dengan menyimpan sedikit wang daripada gaji bulanannya untuk peruntukan duit raya.

"Boleh dikatakan ini sesi yang ditunggu-tunggu semua ahli keluarga setiap tahun kecuali ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saja.

"Saya menggunakan konsep cabutan bertuah dan ia secara rawak, mereka akan ambil kertas yang sudah ditulis nilai duit seperti di papan cabutan.

"Ikut nasib siapa yang bertuah akan dapat duit lebih atau sebaliknya dan sekali gus suasana akan lebih meriah di samping berkongsi rezeki.

"Saya percaya dengan rezeki Allah SWT yang akan diluaskan, malah setiap kali sertai pertandingan seperti kempen pelancongan selalu juga bertuah," katanya.

Katanya, apa yang dilakukan itu bukan pertaruhan sebaliknya cabutan bertuah dan ia akan diteruskan selagi dia mempunyai rezeki dan panjang umur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 8:00 PM