Rosli Ilham


Dungun: Wanita maut disyaki dibunuh suaminya sendiri dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun Terengganu.

Mangsa yang berusia 41 tahun dilaporkan parah di kepala dan muka.

Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan baru pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah.

Sebaik pulang ke rumah, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang berusia 32 tahun itu.

Perselisihan faham dikatakan membawa kepada pembunuhan itu dan suspek yang ketakutan dipercayai keluar dari rumah dan pergi ke rumah saudaranya tidak jauh dari situ, sebelum menceritakan kejadian.

Keluarga suspek kemudiannya melaporkan kejadian kepada polis.

Difahamkan, pasangan berkenaan berkahwin tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia enam bulan.

Anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa yang maut dipukul suaminya di Bukit Besi. Foto Rosli Ilham
Anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa yang maut dipukul suaminya di Bukit Besi. Foto Rosli Ilham

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan sepasukan anggota forensik turut dipanggil bagi menjalankan siasatan.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Polis sudah menahan suspek untuk siasatan lanjut dan mengenal pasti motif pembunuhan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 3:39 PM