BUNGKUSAN mengandungi ubat gigi yang dihantar kepada Anwar dan Rafizi. FOTO ihsan polis
BUNGKUSAN mengandungi ubat gigi yang dihantar kepada Anwar dan Rafizi. FOTO ihsan polis
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis mengesahkan bungkusan yang didakwa berisi ekstrak ganja yang dihantar ke pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini adalah pes ubat gigi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kandungan sebenar dalam bungkusan yang diterima dua ahli politik itu dikenal pasti selepas hasil ujian makmal dilakukan.

"Selepas kita hantar bungkusan itu ke makmal kimia, hasilnya didapati ia tidak mengandungi sebarang jenis dadah. Ia sebenarnya adalah pes ubat gigi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kedua-dua bungkusan itu dihantar oleh individu yang sama dan dipercayai warga tempatan.

Katanya, polis sudah mendapat maklumat pengirim bungkusan berkenaan dan usaha mengesan suspek masih dilakukan.

Media sebelum ini melaporkan bungkusan berisi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik, dirampas menerusi serbuan di sebuah hab kurier di Pulau Meranti, Puchong.

Serbuan dibuat hasil maklumat seorang penjawat awam yang memaklumkan menerima panggilan telefon berkaitan kiriman bungkusan dialamatkan ke atas dua ahli politik yang perlu dituntut di hab berkenaan.

Rentetan itu, polis merampas satu tiub ubat gigi berpenutup hijau dan putih bercorak daun ganja tertera tulisan 'Happy Green' seberat 80 gram dalam bungkusan kotak berwarna coklat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 12:21 PM