Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak gagal untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Keputusan itu secara majoriti dibuat empat panel hakim yang dibaca Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan disokong Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Namun Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.

Berikutan keputusan itu, Najib kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Najib dilaporkan sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September tahun lalu.

Dalam permohonan kebenaran semakan sebelum ini, Najib mahukan mahkamah tertinggi negara supaya menyemak keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu sekali gus melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Secara alternatif, Najib juga memohon supaya rayuan utama akhirnya didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Prosiding pendengaran itu berlangsung selama enam hari bermula 19 Januari lalu.

DATUK Seri Najib Razak hadir. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Najib Razak hadir. FOTO Arkib NSTP

Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 70 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 10:06 AM