MEERQEEN nafi diri sombong dan berlagak.
MEERQEEN nafi diri sombong dan berlagak.
Norhayati Nordin


KEJAYAAN drama Melur Untuk Firdaus tahun lalu berjaya membawa nama dan bakat baharu diminati ramai, Meerqeen, 22, jauh hingga ke luar negara.

Tidak menunggu lama untuk meraih pencapaian besar dengan dikenali ramai peminat di tanah air termasuk dari Indonesia, Meerqeen mengakui semuanya bergantung rezeki.

Katanya, dia bersyukur dan perlu terus berusaha memantapkan karier.

Namun, dengan populariti sekelip mata diraihnya, Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam juga akur harus sedia berdepan gosip dan cerita sensasi mengenai dirinya yang timbul.

Terpalit dengan dakwaan sudah besar kepala, sombong dan berlagak bagus, Meerqeen menafikannya dan enggan melatah.

Katanya, biarlah apa yang orang nak kata kerana yakin mereka itu belum pernah bekerja dengannya.

"Biasalah apabila kita sudah berada pada satu tahap yang mungkin orang lain juga inginkan, sudah tentu ada segelintir penghalang atau 'haters' yang cuba nak menjatuhkan.

POPULAR, Meerqeen akui drama Melur Untuk Firdaus lonjakkan namanya.
POPULAR, Meerqeen akui drama Melur Untuk Firdaus lonjakkan namanya.

"Tapi, setakat ini saya okay saja sebab kenal dengan diri sendiri. Saya tahu di mana kekuatan dan kelemahan dalam diri. Malah, saya tak rasa terbeban pun dengan apa saja tanggapan buruk yang dilemparkan sebelum ini.

"Sebabnya, saya pasti orang yang menyebarkan cerita itu mungkin belum pernah langsung bekerja dengan saya. Jadi, dia tak pernah ada kena-mengena pun dengan saya," katanya ditemui baru-baru ini.

Turut melihat positif tempias gosip dirinya, Meerqeen berkata, apa yang pernah terjadi itu sudah pun berlaku dan dia sekadar mengambilnya sebagai peringatan kepada diri sendiri.

Katanya, dia akan memperbaiki kekurangan diri.

"Apa yang buruk berlaku pada tahun lalu, sama ada orang nampak atau tidak, yang saya tahu ia sudah pun berlaku. Tapi, saya cuma nak ambil apa saja yang dirasa bersinar untuk dibawa lebih menyerlah cahayanya dalam karier pada tahun ini.

"Segala kejayaan dimiliki tahun lalu itu sebagai rezeki, tapi untuk tahun ini pula saya sedar perlu tampil dengan lebih yakin lagi. Alhamdulillah, saya ada banyak projek akan dihasilkan tahun ini," katanya.

Terbaharu, Meerqeen kini muncul dengan drama terbaru, Nenek Bongkok Tiga melakonkan watak Adi yang mencabar dirinya apabila perlu bermain emosi sehingga membawa kembali kepada kisah berhadapan masalah kemurungan suatu ketika dulu.

Drama penuh misteri, psiko thriller dan fantasi itu dapat ditonton menerusi platform OTT popular, Viu.

MEERQEEN syukur sibuk dengan banyak projek lakonan tahun ini.
MEERQEEN syukur sibuk dengan banyak projek lakonan tahun ini.

Selain Meerqeen, barisan pelakon lain ialah Datin Seri Sofea Jane, Hun Haqeem, Sara Ali dan ramai lagi.

Janji buat yang terbaik

Pernah dicalonkan kategori Artis Baharu Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH Ke-34 (ABPBH34) tahun lalu, ia juga dianggap pencapaian terbaik Meerqeen sebagai pendatang baru industri hiburan.

Meerqeen berkata, drama Melur Untuk Firdaus yang dibintanginya amat membantu melonjakkan nama dan bakat lakonan di mata peminat.

Katanya, dia kini teruja menjayakan watak itu untuk sekuel yang pastinya ditunggu-tunggu penonton.

"Sejujurnya saya amat gementar untuk membintangi drama Melur Untuk Firdaus 2 kerana musim lalu adalah penanda aras terbaik untuk drama rantaian di Malaysia. Jadi, untuk melepasi 'standard' (piawaian) penanda aras musim lalu itu agak sukar juga.

"Tapi, saya akan cuba buat terbaik, bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh agar musim yang terbaharu ini nanti lebih baik lagi. Harapan saya pula tak minta banyak, cuma agar cerita ini terus diterima baik oleh penonton," katanya.

Mengulas tekanan, Meerqeen berkata, sudah tentu setiap kerja yang dilakukan ada tekanan. Tapi, katanya, bagi musim kedua ini semestinya dia sudah sangat-sangat mengenali karekter Firdaus itu merangkumi apa yang dia suka dan tidak suka. Namun, ia bukan satu masalah untuk Meerqeen kerana dia juga sukakan cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:50 AM