TANGKAP layar video yang dirakam sebelum kejadian menunjukkan Muhammad Rizqullah (baju hijau) dan Wan Muhammad Ammar (berbaju putih) di dalam lif. FOTO Ihsan TikTok Rose Aleenda.
TANGKAP layar video yang dirakam sebelum kejadian menunjukkan Muhammad Rizqullah (baju hijau) dan Wan Muhammad Ammar (berbaju putih) di dalam lif. FOTO Ihsan TikTok Rose Aleenda.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Atas nama persahabatan, kanak-kanak dikenali Naufal tekad mencari rakannya, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie yang masih hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, semalam.

Menerusi salah satu video dimuat naik ibunya, Rose Aleenda di TikTok, kelihatan Naufal cuba mencari dengan memanggil nama rakannya, Muhammad Rizqullah, 10, yang mesra dengan panggilan Cikki.

Naufal tidak berseorangan sebaliknya cuba mencari Muhammad Rizqullah di sekitar kawasan rakannya terjatuh ditemani ibu dan bapanya.

"Naufal ajak juga cari Cikki dekat kawasan Cikki jatuh. Naufal cakap Cikki ada terselit tepi pokok.

"Dia (Naufal) nak juga ajak papa cari Cikki. Allahuakbar itulah dinamakan sahabat," tulis Rose Aleenda di ruangan kapsyen.

Terdahulu, Rose Aleenda memuat naik video terakhir sempat dirakam dalam lif menunjukkan Muhammad Rizqullah dan Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan sebelum kejadian berlaku.

Menerusi video itu, mereka kelihatan ceria bersama malah Muhammad Rizqullah sempat melambai ke arah kamera.

TANGKAP layar video menunjukkan Naufal berusaha mencari Muhammad Rizqullah di sekitar kawasan rakannya terjatuh. FOTO Ihsan TikTok Rose Aleenda.
TANGKAP layar video menunjukkan Naufal berusaha mencari Muhammad Rizqullah di sekitar kawasan rakannya terjatuh. FOTO Ihsan TikTok Rose Aleenda.

Berdasarkan kapsyen dalam video pula, Rose Aleenda memaklumkan Naufal trauma selepas apa yang berlaku.

"Naufal masih dalam keadaan trauma sebab kawan baik dia sudah tiada. Allahuakbar... Allah sayangkan kawan Naufal.

"Naufal kuatkan semangat ya.. Mama sayang adik lebih dari nyawa mama sayang. Tak ada dah kawan main adik," tulisnya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.

Mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar berusia lapan tahun ditemui jam 6.30 petang semalam pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Sementara, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie masih hilang dan belum ada petunjuk ditemui pihak berkuasa setakat ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini diteruskan di sekitar tebing juga laluan sungai dekat Kampung Kemensah, Hulu Klang, di sini.

Ia membabitkan 25 anggota terdiri daripada anggota Balai Bomba Ampang, pasukan Multi Skill Team (MUSTeam) dan unit K9 dengan bantuan dua ekor anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Blake juga Pop.

Seramai 37 lagi yang terbabit dalam SAR terdiri daripada agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 9:23 PM