AARON Aziz komited hulur bantuan kepada  rakan lain dalam industri untuk berkongsi rezeki.
AARON Aziz komited hulur bantuan kepada rakan lain dalam industri untuk berkongsi rezeki.
Ridzuan Abdul Rahman


NAMANYA sudah dikenali ramai dan popularitinya tidak perlu dinafi lagi.

Bagaimanapun, itu tidak menjadikan pelakon, Datuk Aaron Aziz, 46, riak atau lupa diri apabila tetap mengenang jasa dan membantu rakan lain dalam industri.

Terbaharu, Aaron bekerjasama dengan pelakon, Soffi Jikan memasarkan produk minyak enjin yang diusahakan pelakon itu.

"Secara asasnya saya tolong bantu promosi produk kawan yang dah lama kenal. Masing-masing cari peluang membina satu perniagaan.

"Tak kira apa-apa, kalau saya boleh tolong, saya tolong. Rezeki ini terpulang kepada Allah apa yang kita dapat hasilnya dan sebagainya. Yang penting kita buat kerja dengan ikhlas.

"Kita jujur dan pastikan produk yang dikeluarkan itu produk yang bagus. Tak nak orang kata guna muka, guna nama, tapi barang tak bagus. Seperti saya jadi duta untuk semua produk sebelum ini, saya akan pastikan ia memang bagus," katanya.

Tidak ketinggalan, Aaron turut membantu TikTokers, Izuan Razali dan Wafee dalam penghasilan drama di YouTube serta filem.

"Ceritanya, ketika mereka buat episod dua untuk tayangan di YouTube, mereka tiada pengarah. Jadi mereka minta tolong saya arahkan.

"Saya pun arahkan tanpa apa-apa bayaran. Apabila ditayangkan, hasilnya sangat bagus. Orang pun dapat bandingkan episod satu yang diarahkan pengarah lain.

"Episod dua itu memang kita 'shooting' (penggambaran) dalam masa dua hari setengah saja dengan bajet yang agak rendah, tapi saya dapat menjayakan sebegitu dan Allah memudahkan lagi urusan saya," katanya.

SERIUS dalam kerjanya di lokasi.
SERIUS dalam kerjanya di lokasi.

MAHU membuktikan filem arahannya mampu meletup di pawagam walaupun menggunakan bajet rendah.
MAHU membuktikan filem arahannya mampu meletup di pawagam walaupun menggunakan bajet rendah.

AARON bekerjasama dengan Soffi dalam pemasaran minyak enjin milik pelakon terbabit.
AARON bekerjasama dengan Soffi dalam pemasaran minyak enjin milik pelakon terbabit.

Bertambah bersyukur apabila mereka mendapat pembiayaan kewangan daripada individu untuk menghasilkan supertele berjudul 5 Lion The Final Battle.

"Supertele ini saya perkuatkan dengan mengundang Soffi, Fify Azmi, Azri Iskandar dan ramai lagi untuk memantapkan lagi cerita.

"Soffi tampil dalam filem ini membawakan watak antagonis. Namun saya tak berlakon sebagai hero kerana heronya adalah budak-budak TikTokers.

"Memang orang kata cerita gangster klise tapi ada kelainannya. Senang kata, bila kamu suruh seorang cef untuk jadi mekanik dan suruh seorang cef buat untuk buat pasta. Mana lagi sedap? Jadi fikirkan sendiri," katanya.

Menurutnya, dia bersungguh-sungguh membetulkan banyak perkara dalam produksi ini kerana mereka banyak menggunakan muka baharu termasuk penulis skripnya.

"Jadi, asasnya ialah kita tak semestinya perlukan modal jutaan ringgit untuk menghasilkan satu filem yang bagus. Saya nak buktikan itu. Ada yang komen kenapa guna pelakon tak popular.

"Itu terletak kepada pengarah. Apa yang saya janjikan lakonan dalam filem saya memang berbeza daripada versi YouTube di mana ramai kata pelakonnya kayu.

"Kali ini saya buat latihan dan babak 'fighting' (pertarungan), 'storyline' (jalan cerita) pun saya pastikan perjalanannya cantik, ada 'subplot' dan bukan cerita-cerita bodoh kerana satu masa nanti nama saya juga akan disebut di belakang filem ini," katanya.

Aaron berkata, dia perlu memastikan supertele ini satu karya yang bagus dan dapat membuktikan yang TikTokers juga hebat dalam berkarya.

"Jangan rendahkan 'influencer' media sosial kerana mereka mungkin boleh dapat banyak kutipan dari pembikin filem sebenar yang ada di pasaran," katanya yang akan mengarahkan sebuah filem baharu pada Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 6:00 AM