NURHAMIDAH dan Hassan Azhari bersama empat kembar mereka.
NURHAMIDAH dan Hassan Azhari bersama empat kembar mereka.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Dikurniakan anak kembar pastinya menggembirakan hati dan memberi keceriaan dalam kehidupan suami isteri apatah lagi selepas sekian lama menanti kehadiran zuriat dalam rumah tangga.

Bagi keluarga yang dikurniakan empat anak kembar bukan hanya merasai kegembiraan berganda, malah perlu berdepan pengalaman unik dan cabaran tersendiri.

Selain aspek kewangan, banyak pengorbanan perlu dilakukan termasuk masa, emosi, mental dan fizikal kerana perlu menguruskan serta berdepan pelbagai ragam empat anak kecil serentak.

Ikuti perkongsian pengalaman unik dan cabaran keluarga ini dalam membesarkan empat anak kembar.

KISAH 1

Penantian 10 tahun pasangan ini berakhir dengan kelahiran empat anak sulung serentak, kira-kira dua tahun lalu, namun cabaran besar menanti mereka.

Bagi Nurhamidah Jalaluddin, 35, dia mengakui menghadapi cabaran tersendiri sepanjang membesarkan kembarnya iaitu Raudhah Ezzahra, Raudhah Elhana, Habib Elhafiy dan Raudhah Essyifa masing-masing kini berusia 23 bulan.

"Memang ada anak kecil apatah lagi kembar empat kadangkala emosi mudah terganggu dan paling mencabar ketika mereka tidak sihat kerana ada lelah. Masing-masing ada ragamnya dan hendak berkepit dengan kita saja.

"Masa tidur juga tidak menentu kadang jam 1 pagi atau 2 pagi baru dapat lelap dan tidur pun tidak lena kerana perlu bangun malam membuat susu untuk mereka.

"Lagi mencabar jika dua-dua (ibu bapa) bekerja, macam saya jam 5.30 pagi sudah bangun untuk siapkan kembar dan diri sendiri sebelum ke sekolah manakala suami pula bekerja tidak menentu waktu, kadang malam baru balik rumah," katanya.

Guru sebuah sekolah rendah di Pekan, Pahang berkenaan berkata, dalam berdepan dugaan membesarkan anak-anak, mereka sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dan bergilir-gilir menjaga supaya tidak timbul rasa tidak puas hati atau isu berbangkit lain.

Daripada aspek kewangan pula, katanya, mereka memperuntukkan perbelanjaan hampir RM3,000 sebulan untuk keperluan kembar terbabit.

"Susu biasanya kami belanja hampir RM1,000 sebulan, lampin pakai buang RM400, barangan keperluan lain RM200 serta upah pengasuh RM1,300.

"Kebiasaannya gaji kami habis untuk kembar dan membayar komitmen lain dan cuma bakinya hanya dalam beberapa ratus saja untuk simpanan.

"Setakat ini, keadaan kewangan kami masih lagi terkawal dan kami berjimat-cermat dengan hanya mengeluarkan belanja untuk keperluan saja," katanya.

Katanya, dia dan suaminya, Hassan Azhari Mohd Nor, 37, menganggap kehadiran kembar terbabit bagaikan satu rahmat buat rumah tangga yang dibina pada 2011 itu.

"Kami buat rawatan kesuburan, inseminasi intrauterin (IUI) pada 2019 dengan kos kira-kira RM3,000 kerana 10 tahun berkahwin, saya belum ada rezeki hamil.

"Doktor memberitahu peluang untuk kami hanyalah 15 peratus saja, tetapi alhamdulillah rezeki berpihak kepada kami apabila dikurniakan tiga kembar sebelum mengetahui ada lagi seorang bayi ketika melahirkan mereka.

"Jadi, kalau hendak kira soal penat, emosi terganggu dan kewangan...ia bukan masalah yang melemahkan semangat kerana kehadiran mereka umpama rahmat dan rezeki buat kami berdua," katanya.

Katanya, mereka kini berharap Allah menguatkan hati dan mempermudahkan urusan dalam membesarkan kembar empat ini supaya menjadi insan berguna suatu hari nanti.

KISAH 2

Seawal usianya 10 tahun, Noor Alifah Ahmad Izhar, 31, sudah menjadi tulang belakang kepada ibu bapanya dalam membantu menguruskan adiknya termasuk kembar empat.

Empat adik kembar lelaki Noor Alifah iaitu Ahmad Amjad Azri, Ahmad Amjad Bahzi, Ahmad Amjad Fitri serta Ahmad Amjad Ghazi lahir pada Disember 2001 ketika usianya baharu menginjak 10 tahun.

Kakitangan sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan itu berkata, dia bersama dua abang serta seorang adiknya dibahagikan tugas untuk menguruskan kembar berkenaan.

"Saya sudah boleh buat serba sedikit kerja rumah seperti memasak yang ringkas-ringkas serta membantu menguruskan adik-adik lain ketika itu.

"Apabila kembar lahir, kami dibahagikan tugas antaranya membancuh susu, menidurkan, memakaikan tanda nama dan tugas saya menyiapkan set baju lengkap dengan sarung tangan dan kaki untuk kembar itu.

"Malah, untuk memudahkan kami, umi membuat kod warna baju berbeza iaitu biru untuk Azri, Bahzi (merah), Fitri (kuning) dan Ghazi (hijau)," katanya.

NOOR Alifah bersama empat adik kembarnya.
NOOR Alifah bersama empat adik kembarnya.

Selain itu, katanya, kembar berkenaan masing-masing mempunyai perangai unik iaitu tidak gemar memakai tema warna pakaian sama dan mencederakan diri sendiri apabila bergaduh.

"Sesetengah situasi ada daripada mereka sengaja menyakat dengan memakai baju kembar mereka sedangkan mereka ada kod warna baju masing-masing.

"Pernah semasa belajar di tadika, cikgu terpaksa panggil kami datang sekolah kerana mereka berebut seorang kawan dengan masing-masing mahukan kawan itu duduk di sebelah mereka.

"Satu lagi perangai pelik, apabila bergaduh mereka akan mencederakan diri sendiri terutama menghantukkan kepala sampai berdarah berbanding memukul kembar mereka," katanya.

Katanya, empat kembar itu kini berusia 21 tahun dan masing-masing bekerja.

Katanya, Azri dan Bahzi menetap dengannya di Port Dickson, manakala Fitri dan Ghazi bersama ibu, Noor Jannah Ahmadini dan bapanya, Ahmad Izhar Mohamed Noor di Sungai Buloh, Selangor.

KISAH 3

Buat lebih satu pekerjaan untuk menambah pendapatan dilakukan Norhayu Mat Hanafi, 42, dan suaminya, Mohd Rizal Shaari, 46, bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk empat kembar mereka.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, dia berhenti kerja kilang selepas melahirkan anak sulung kembar, Puteri Nuradlina, Puteri Nuradriana, Puteri Nurafrina dan Puteri Nuraina Mohd Rizal pada 2010.

Katanya, empat kembar itu turut mengalami masalah intelektual kategori pembelajaran, pertuturan lambat serta hiperaktif selepas didiagnos ketika usia mereka berusia enam tahun.

"Dengan pendapatan suami yang bekerja di bahagian penyelenggaraan kilang ikutkan memang tidak mencukupi dan memang gaji tak sempat sampai hujung bulan sudah habis.

"Tetapi kami urus perbelanjaan mengikut kemampuan dan keperluan saja, asalkan dapat membeli susu formula dan lampin pakai buang mereka... itu pun kami bersyukur sangat.

"Macam pakaian kembar pula kami bersyukur kerana ada saja orang sedekah sampai hari ini, mungkin kalau hendak beli pun tunggu hari raya saja, tetapi kami tak kisah pun kalau pakai baju lama," katanya.

NORHAYU dan suaminya bersama enam anak mereka dengan empat daripada mereka kembar berusia 12 tahun.
NORHAYU dan suaminya bersama enam anak mereka dengan empat daripada mereka kembar berusia 12 tahun.

Menurutnya, mereka pernah berniaga sate, manakala suaminya menjadi pemandu e-hailing menambah pendapatan keluarga.

"Apabila Covid-19 melanda, kami berhenti niaga kerana suami buat e-hailing sebagai kerja sambilan.

"Sekarang, saya buat kuih untuk diletakkan di kedai bagi meringankan beban suami. Walaupun masa kami terhad, tetapi rasa sangat seronok sebab hari-hari dapat duit dan boleh tampung perbelanjaan," katanya.

Katanya, dia dan suami tidak menang tangan menguruskan anak kembar itu kerana tiada pengalaman.

"Memang ada masa down sangat rasa macam hendak lari jauh kerana kembar tak normal macam bayi lain dan kerap menangis, tetapi kami anggap ujian dan sentiasa bersabar.

"Alhamdulillah, suami tak pernah lepas tangan kerana terus pegang anak selepas balik kerja, mandikan dan malam berjaga tukar lampin atau buat susu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 12:30 PM